PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Ramai mengeluh, risau jerebu masih belum reda

PETALING JAYA – Keadaan jerebu yang masih menyelubungi ibu negara pagi ini mengundang kebimbangan orang ramai apabila beberapa mercu tanda terkenal termasuk Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) dilaporkan tidak kelihatan jelas.

Situasi itu dikongsikan seorang pengguna menerusi hantaran di Threads @Adiazwari yang menyifatkan keadaan jerebu di sekitar Sentul, Kuala Lumpur masih teruk sehingga disangkakan kabus.

“Malaysia jerebu masih teruk ya pagi ni, ingat kabus. KLCC, KL Tower, TRX semua tak nampak lagi,” tulisnya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan jerebu yang dilihat masih belum pulih.

“Sekejap je KL bersih petang semalam. Mungkin sebab angin tolak jerebu ke tempat lain. Lepas itu teruk balik,” kata @Cheabdullah.

“Hujan semalam pun macam tak ada fungsi sangat dah. Masih teruk juga, tahun ni teruk betul.. sekolah anak pun tak tutup walaupun IPU tinggi, penat suruh anak pakai KN95 tak ada dia nak ikut cakap,” kata @Fuzlieyana.

“Ya Allah teruk sangat dah ni. Semoga sebelum puasa hilang dah jerebu ni,” kata @Syahira. – KOSMO! ONLINE

Percepatkan projek tebatan, elak banjir berulang

BUKIT GANTANG – Kelulusan peruntukan tebatan banjir perlu disusuli pelaksanaan segera supaya penduduk Bukit Gantang tidak terus berdepan bencana berulang ketika projek masih pada peringkat kajian.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kejadian yang kerap berlaku di kawasan itu menuntut perubahan kaedah kerja agensi berkaitan, khususnya dalam pengurusan sungai dan sistem saliran.

Menurutnya, kerajaan Madani sudah menyediakan peruntukan untuk menangani masalah tersebut, namun beliau berpandangan pelaksanaannya perlu dipercepat dan diurus dengan lebih cekap bagi mengurangkan penderitaan penduduk.

“Sekali-sekala berlaku kita faham, tetapi jika sentiasa berlaku, apakah tidak ada usaha yang lebih cekap untuk mengalihkan air banjir ataupun menampung air yang turun dengan laju.” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Masjid Al -Wusta  di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu akan dibangkitkannya di Parlimen esok dengan memberi tumpuan kepada langkah mengurus aliran air hujan dan mengurangkan risiko limpahan sungai.

Katanya, kerja mendalamkan sungai dan membersihkan parit juga perlu dilaksanakan dengan kaedah yang betul, termasuk pengurusan bahan korekan supaya tidak dihanyutkan semula ke dalam saluran apabila hujan.

“Cara korek parit dan sungai tidak betul. Dikorek, kemudian diletakkan di tepi. Apabila air datang, pasir masuk balik,” katanya.

Syed Abu Hussin turut meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air meneliti kecekapan pelaksanaan projek berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara melihat penambahbaikan kaedah kerja bagi mempercepat penyelesaian masalah rakyat.

Bagi tindakan segera, beliau mencadangkan penyediaan takungan air di bahagian hulu untuk memperlahankan aliran ke kawasan rendah, selain pelebaran sungai serta pembuangan sampah dan pokok tumbang yang menghalang laluan air.

Menurutnya, penyelenggaraan sungai dan saliran perlu diberi keutamaan, manakala penyelesaian jangka panjang memerlukan sistem pengurusan aliran air yang sesuai dengan keadaan kawasan serta pembangunan sekitarnya.

Sementara itu, beliau bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara penduduk, termasuk isu kebenaran melalui tanah persendirian untuk membina saliran dari kawasan rumah ke sungai.

“Maklumkan kepada saya secara terperinci. Saya boleh menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah antara orang kampung dengan orang kampung. Maklumkan segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Guchil mahu keluar daripada ‘perangkap’ banjir

KEDUDUKAN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Kuala Krai, Kelantan yang berhampiran sistem Sungai Kelantan menjadikan isu banjir antara cabaran utama yang perlu ditangani secara berterusan, bukan sekadar ketika musim tengkujuh.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah, pendekatan menangani banjir tidak boleh lagi tertumpu kepada tindakan selepas bencana berlaku, sebaliknya perlu bermula dengan usaha mengurangkan risiko sebelum air melimpah.

Katanya, kedudukan Guchil dalam lembangan Sungai Kelantan dan berhampiran beberapa anak sungai menyebabkan sebahagian kawasan sentiasa terdedah kepada risiko banjir, terutama ketika musim tengkujuh.

“Sebagai wakil rakyat, cabaran kita bukan sekadar membantu ketika banjir berlaku, tetapi bagaimana hendak mengurangkan kesannya kepada rakyat dalam jangka panjang.

“Ini melibatkan penyelenggaraan sistem perparitan, saliran, tebing sungai, jalan perhubungan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, dua lokasi utama di Pekan Guchil telah dikenal pasti untuk dibina kolam takungan bagi menampung air dan mengelakkan kejadian banjir kilat, dengan kos setiap kolam takungan dianggarkan RM10 juta.

Katanya, pengalaman banjir besar pada 2014 yang pernah melanda Kuala Krai, katanya, menjadi pengajaran bahawa isu banjir perlu ditangani secara menyeluruh melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Jajahan serta agensi berkaitan.

Pada masa sama, beliau berkata, kesiapsiagaan di peringkat komuniti turut penting bagi memastikan rakyat terjejas mendapat bantuan dengan cepat, golongan rentan diberi perhatian, laluan keluar masuk kampung tidak terputus dan sistem amaran serta pengurusan bencana sentiasa berada pada tahap baik.

Katanya, DUN Guchil juga sentiasa mengadakan libat urus dengan agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan tempatan sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana.

“Bagi saya, pendekatan terbaik adalah mengurus banjir sebelum banjir berlaku, bukan hanya bertindak selepas rakyat sudah menjadi mangsa,” katanya.

TIGA ISU UTAMA RAKYAT

Selain banjir, Hilmi berkata, tiga perkara yang paling kerap dibangkitkan penduduk Guchil ketika ini adalah infrastruktur asas, peluang ekonomi serta kebajikan dan perumahan.

Katanya, keadaan jalan, longkang, sistem perparitan, lampu jalan dan beberapa kemudahan awam memerlukan penyelenggaraan atau naik taraf secara berkala, lebih-lebih lagi Guchil merupakan pusat bandar Jajahan Kuala Krai.

“Perkara ini kita bawa secara berterusan kepada agensi teknikal, PBT dan jabatan berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Dalam soal ekonomi dan kos sara hidup pula, katanya, rakyat bukan sekadar memerlukan bantuan sementara, sebaliknya peluang untuk menjana pendapatan secara berterusan. Sehubungan itu, pembangunan usahawan kecil, sektor pertanian, perniagaan, penjaja, peniaga pasar serta pendedahan ilmu pemasaran perlu diberi perhatian, termasuk pemasaran secara dalam talian yang kini menjadi saingan kepada jualan produk fizikal.

Sementara itu, isu kebajikan dan perumahan terutama membabitkan golongan berpendapatan rendah, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), keluarga yang berdepan masalah rumah serta golongan muda yang baru memulakan kehidupan, turut menjadi antara cabaran terbesar.

“Lokasi DUN Guchil terletak dalam bandar, maka tiada tanah kosong milik kerajaan untuk dibangunkan rumah RMMK atau PPR bagi mengatasi masalah perumahan dan penempatan warga bandar.

“Saya masih berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

ADUAN DENGAN TINDAKAN SUSULAN

Hilmi berkata, pendekatan beliau adalah memastikan setiap aduan mempunyai tindakan susulan walaupun sebahagiannya memerlukan peruntukan besar dan melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi.

“Tidak semua perkara dapat diselesaikan dalam masa singkat, tetapi perkara paling penting adalah masalah rakyat mesti dibawa, dipantau dan diperjuangkan sehingga ada penyelesaian,” katanya.

Dalam menangani masalah infrastruktur, beliau berpandangan isu jalan dan sistem saliran tidak boleh dilihat secara berasingan.

“Kita tidak boleh membaiki jalan sahaja sedangkan masalah aliran air tidak diselesaikan. Begitu juga kita tidak boleh membina longkang tanpa melihat ke mana air itu akhirnya akan dialirkan. Ini adalah masalah perbandaran,” katanya.

Antara usaha yang diperjuangkan termasuk kerja menaik taraf dan menyelenggara longkang serta saliran utama, membersihkan saliran tersumbat, memperbaiki struktur perparitan di kawasan penempatan serta memastikan projek pembangunan baharu mempunyai sistem saliran mencukupi.

Bagi kawasan yang kerap mengalami banjir atau air bertakung, beliau mahu kajian dibuat berdasarkan keseluruhan sistem aliran air termasuk hubungan antara longkang, anak sungai dan Sungai Kelantan.

Katanya, pembinaan kolam takungan khususnya di bandar dan perumahan padat penting bagi mengurangkan kejadian banjir kilat.

Dalam soal jalan pula, keutamaan diberikan kepada laluan utama penduduk, laluan sekolah, kawasan ekonomi serta jalan yang rosak akibat banjir atau mempunyai risiko keselamatan.
Beliau turut memperjuangkan pembinaan jalan di pesisir sungai bagi menghidupkan semula penempatan sepanjang Sungai Kelantan. -UTUSAN

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Malaysia teliti bantuan tambahan padam kebakaran hutan di Indonesia

AYER KEROH: Malaysia meneliti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalur kepada Indonesia bagi memadam kebakaran hutan yang semakin tidak terkawal, termasuk kemungkinan menggerakkan aset udara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata cadangan bantuan itu sedang dibincang oleh pegawai kanan kedua-dua negara sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan.

Beliau berkata, antara bantuan yang dipertimbang ialah penggunaan helikopter dan pesawat pengebom air bagi membantu operasi memadam kebakaran di kawasan terjejas.

"Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini berunding dengan rakan sejawat masing-masing berhubung perkara itu.

"Hasil perbincangan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat bagi kelulusan menghantar bantuan bersesuaian," katanya selepas menutup Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) ke-10 di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas di negara itu, susulan keputusan Presiden Prabowo Subianto meluluskan tawaran bantuan daripada negara jiran.

Mohamad berkata, Malaysia tidak boleh berdiam memandangkan kebakaran hutan di Indonesia turut memberi kesan kepada negara serantau, namun sebarang operasi bantuan perlu mengambil kira faktor keselamatan.

Katanya, operasi memadamkan kebakaran berdepan cabaran besar kerana lokasi kebakaran jauh di kawasan pedalaman, selain keadaan jerebu tebal yang menjejaskan jarak penglihatan.

"Memang susah untuk menghantar trak atau peralatan lain kerana kebakaran berlaku jauh di pedalaman.

"Pilihan yang ada ialah memadamkan kebakaran menggunakan pesawat, tetapi pesawat juga berdepan masalah untuk terbang disebabkan ketebalan jerebu.

"Jarak penglihatan dilaporkan tidak sampai 50 meter, manakala indeks pencemaran di kawasan Kalimantan mencecah 1,000," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu turut menyebabkan pasukan Jepun yang sebelum ini terbabit dalam usaha membantu operasi terpaksa pulang kerana tidak dapat meneruskan misi.

Katanya, Malaysia akan memastikan sebarang bantuan udara dilaksanakan secara berhati-hati dan tidak membahayakan juruterbang serta anggota yang terbabit.

Perak shuts all hiking trails in forest reserves from Nov 2 to Jan 17 due to monsoon season

IPOH, Oct 18 — All hiking trails and recreational activities within permanent forest reserves (HSK) in Perak will be closed to the public from November 2 to January 17 next year due to the monsoon season.

Perak Forestry director Datuk Mohd Basri Abdul Manaf said the directive took into account current risk assessments and the weather outlook report issued by the Malaysian Meteorological Department (MetMalaysia).

“All hiking trails and recreational activities within Perak’s HSK, including jungle trekking, four-wheel driving and cycling, are prohibited during this period,” he said in a notice posted on the Perak Forestry Department’s official website.

He said the directive had also been circulated to all district forestry offices, ranger offices, police stations, penghulu (village head) offices and relevant agencies for public information and reference.

However, the department’s Hiking Trail Conservation Programme is exempted from the closure. The programme will be held in the HSK areas of Kuala Kangsar, Larut, Matang and Selama, Kinta, Manjung and Perak Selatan from Nov 21 to Dec 26. — Bernama

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search