KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di seluruh negara semakin pulih sejak semalam susulan perubahan arah angin kecuali di Sarawak.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyatakan bahawa Monsun Timur Laut yang bermula esok dijangka dapat menghalang jerebu merentas sempadan daripada ditiup masuk dari negara jiran ke Malaysia.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa tiupan angin yang berterusan dari arah timur laut akan menjauhkan jerebu daripada memasuki ruang udara negara.
"Keadaan cuaca berjerebu sudah mula pulih sejak semalam berikutan perubahan arah pergerakan angin di negara kita, kecuali di Sarawak.
"Dengan bermulanya musim Monsun Timur Laut esok, pergerakan angin yang berterusan dari timur laut akan menyebabkan jerebu dari negara jiran tidak lagi bergerak ke arah negara kita," katanya.
Setakat jam 7 pagi tadi, sebahagian besar kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik atau sederhana, selaras dengan keadaan jerebu yang terus menunjukkan trend pemulihan.
Mohd Hisham turut menambah bahawa cuaca lembap dijangka melanda kebanyakan kawasan pada minggu ini.
"Dengan bermulanya Monsun Timur Laut, cuaca sepanjang minggu ini diramal lembap di kebanyakan tempat. Hujan dijangka berlaku pada awal pagi di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, manakala hujan lebat berserta ribut petir diramal pada sebelah petang dan malam di kawasan-kawasan lain," katanya.
Sebelum ini pada 23 Oktober, MetMalaysia melaporkan bahawa Monsun Timur Laut bagi musim 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober dan akan berlarutan sehingga Mac 2027.
Sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku antara November hingga Januari, yang berisiko mencetuskan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
PETALING JAYA: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur akan beroperasi secara bersemuka seperti biasa esok.
Bagaimanapun Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) berkata, semua aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Katanya, warga sekolah termasuk murid turut digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu semasa.
“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang akan tahap kesihatan anak untuk hadir ke sekolah berikutan keadaan jerebu boleh memilih untuk tidak menghantar anak mereka.
“Bagaimanapun, pihak ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan ketidakhadiran tersebut kepada pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPWPKL turut meminta semua pihak supaya terus peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi nasihat pihak berkuasa berkaitan keadaan jerebu.
PETALING JAYA: Keadaan jerebu di seluruh negara dijangka terus beransur pulih apabila Monsun Timur Laut bermula esok, sekali gus mengubah arah pergerakan angin yang sebelum ini membawa jerebu merentas sempadan ke Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, perubahan arah angin sejak semalam menyebabkan keadaan jerebu di kebanyakan kawasan bertambah baik, kecuali di Sarawak.
“Keadaan cuaca berjerebu sudah mula pulih sejak semalam berikutan perubahan arah pergerakan angin di negara kita, kecuali di Sarawak.
“Dengan bermulanya musim Monsun Timur Laut esok, pergerakan angin yang berterusan dari timur laut akan menyebabkan jerebu dari negara jiran tidak lagi bergerak ke arah negara kita,” katanya.
Setakat pukul 7 pagi tadi, sebahagian besar kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik atau sederhana, selaras dengan trend pemulihan keadaan jerebu.
Mohd Hisham berkata, cuaca lembap dijangka berlaku di kebanyakan kawasan sepanjang minggu ini susulan permulaan Monsun Timur Laut.
“Hujan dijangka berlaku pada awal pagi di negeri-negeri pantai timur Semenanjung, manakala hujan lebat beserta ribut petir diramal pada sebelah petang dan malam di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Pada 23 Oktober lalu, MetMalaysia memaklumkan Monsun Timur Laut bagi musim 2026/2027 dijangka bermula pada 27 Oktober ini dan berterusan sehingga Mac 2027.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku antara November hingga Januari, yang berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai. – UTUSAN
JAKARTA – Penantian hampir lima bulan penduduk di Kalimantan Selatan untuk melihat titisan air hujan berakhir semalam apabila beberapa kawasan di wilayah itu menyaksikan hujan lebat serta angin kencang, lapor laman berita Kumparan.
Di Daerah Banjar, penduduk meluahkan rasa gembira tidak terhingga sehingga ada yang melakukan sujud syukur di bawah limpahan air hujan.
Kegembiraan itu bukan tanpa sebab, memandangkan Kalimantan Selatan berdepan situasi genting apabila diselubungi jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang berlarutan sejak hampir lima bulan lalu.
Seorang penduduk dikenali sebagai Ronny Latar berkata, kehadiran hujan tersebut amat dinantikan dan membawa kelegaan besar kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, hujan lebat itu dijangka dapat melenyapkan kepulan jerebu pekat yang sekian lama menjejaskan aktiviti harian serta mengancam kesihatan penduduk.
Hujan rahmat yang turun petang semalam dianggap penduduk sebagai memberi sinar harapan baharu bahawa episod jerebu sampai ke penghujungnya.
Selain menyingkirkan asap tebal, penduduk berharap cuaca basah itu mampu menamatkan krisis kemarau panjang serta memenuhkan semula telaga-telaga kampung yang kontang. – AGENSI
MELAKA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka akan beroperasi seperti biasa, esok.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dalam kenyataannya memaklumkan, aktiviti di luar bilik darjah boleh diteruskan seperti biasa bagi kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di bawah 100.
Bagaimanapun, katanya, semua aktiviti luar termasuk pendidikan jasmani, aktiviti kokurikulum dan sukan, perkhemahan, keraian, perhimpunan serta aktiviti di dewan terbuka hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100, selaras dengan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019.
“Ujian Akhir Sesi Akademik akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak sekolah masing-masing, termasuk peperiksaan dalaman.
“Pihak sekolah juga diminta memberikan pertimbangan sewajarnya kepada murid yang tidak dapat hadir atas faktor kesihatan, termasuk membenarkan mereka menduduki peperiksaan semula,” katanya.
Sementara itu, JPN Pahang berkata, semua sekolah di negeri itu beroperasi seperti biasa bermula esok, namun sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui pejabat pendidikan daerah masing-masing.- Bernama
