PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Selepas perang, ribut melanda

Kuala Lumpur: Bencana ribut Byron yang melanda Gaza, Palestin, sejak dua minggu lalu tidak hanya membawa musibah banjir, malah ia turut mengakibatkan kejadian kediaman dan bangunan runtuh.

Lebih memilukan apabila tragedi musim sejuk itu turut meragut nyawa ramai pelarian Palestin yang mencari perlindungan di dalamnya.

Ketika ini ramai mangsa dan ahli keluarga mereka dihempap dinding serta binaan konkrit selain 'berkubur' di bawah runtuhan.

Struktur bangunan yang lemah akibat dibom berulang kali oleh tentera Israel sebelum ini ternyata gagal bertahan dengan pukulan angin kencang serta ribut mencecah 60 kilometer sejam.

Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) - Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang berada di Gaza berkata, dalam kejadian terbaru semalam, sebuah rumah empat tingkat di kejiranan Al-Nasr, barat Gaza City, runtuh sepenuhnya selepas dinding yang rosak akibat serangan Israel sebelum ini gagal menahan ribut kuat yang membadai wilayah itu.

"Di kawasan Al-Zaytoun pula, kediaman dua tingkat didiami keluarga Keshko turut menyembah bumi susulan ribut dan hujan lebat yang melanda.

"Berdasarkan maklumat diperolehi, seramai 11 mangsa terkorban akibat dihempap bangunan atau kediaman rapuh dalam tempoh 24 jam lalu," katanya.

Menurutnya, ia turut membabitkan kejadian lima sekeluarga maut di Bir al-Na'ja, Beit Lahiya.

"Berlaku juga kejadian dua mangsa maut akibat dihempap dinding runtuh yang menimpa khemah keluarga pelarian di kawasan Rimal selain seorang maut di Kem Pelarian Al-Shati," katanya.

Selain itu menurutnya, sekurang-kurangnya 10 rumah runtuh mengejut semalam termasuk dua kediaman keluarga Al-Madhoun di Al-Karamah dan keluarga Drabieh di Sheikh Radwan.

"Dalam insiden berasingan, lima lagi terbunuh apabila sebuah rumah di utara Gaza roboh akibat hujan lebat. Waris dan jiran tetangga terpaksa menggali runtuhan dengan hanya menggunakan cangkul dan tangan kosong untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap," katanya.

Bukan sekadar rumah penduduk, malah pintu utama Masjid Al-Omari iaitu masjid tertua dan terbesar di Gaza berusia lebih 1,400 tahun, turut runtuh selepas bahagian yang sudah rosak akibat pengeboman terdahulu tidak mampu lagi menahan hujan lebat.

Abu Ayesh berkata, cuaca sejuk melampau turut mengakibatkan tiga pelarian Palestin

meninggal dunia akibat kesejukan melampau di Khan Younis dan bandar Gaza.

"Suhu malam mencecah 7 hingga 10 darjah Celsius mengakibatkan risiko hipotermia terutama terhadap kanak-kanak dan warga emas.

"Ketika ini lebih 1.9 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal. Kebanyakannya tinggal dalam khemah atau bangunan usang yang tidak selamat," katanya.

Beliau berkata, di beberapa wilayah, banjir masih melanda kawasan kem pelarian dan menenggelamkan khemah, bekalan makanan dan ubat-ubatan.

"Gaza kini tidak hanya berperang melawan pengeboman tentera Israel tetapi juga melawan kuasa alam, kelaparan, kesejukan dan ketidakpedulian dunia," katanya.

 

 

 

 

 

Banjir besar ‘ranapkan’ Aceh

Banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah utama di Sumatera, Indonesia termasuk Aceh dan Sumatera Barat pada 27 November lalu dianggap antara bencana alam paling dahsyat dengan angka korban yang tinggi dan kemusnahan besar infrastruktur.

Setakat ini, dilaporkan tragedi yang disifatkan sama ganas dengan tsunami pada 2004 telah mengorbankan lebih 900 nyawa dengan lebih 600 orang masih hilang.

Arus deras yang membawa bersama runtuhan tanah bukan sahaja mencetuskan banjir besar, malahan turut memusnahkan rumah penduduk sehingga ada kampung yang tenggelam dan lenyap daripada peta.

Lebih 150,000 penduduk telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Kerajaan Indonesia menganggarkan lebih AS$4 bilion (RM16.4 bilion) diperlukan bagi usaha pemulihan dan pembinaan semula tiga wilayah utama yang terjejas teruk akibat bencana terburuk dalam sejarah negara berkenaan.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Nurul Izzati Zaini dengan sukarelawan Pertubuhan Antarabanga Al Ain Malaysia (AIM), Salman Al Farisi Muhammad mengenai keadaan selepas pasca banjir di Padang, Sumatera Barat.

KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan mengenai misi sukarelawan AIM di Sumatera Barat?
SALMAN AL FARISI: Kami tiba di Padang, Sumatera Barat Isnin lalu dalam misi untuk membantu apa yang termampu dengan membawa harapan agar dapat meringankan beban berat yang ditanggung masyarakat di sana.

 

Apa yang boleh disimpulkan saat kami tiba, keadaan di sini ibarat padang jarak padang terkukur. Di sebalik timbunan lumpur tebal dan runtuhan kediaman, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergelut menjejaki mangsa yang masih hilang.

Bagaimana gambaran sebenar di lokasi kejadian banjir tersebut?
Hari pertama kami sukarelawan ke kawasan yang berada tidak jauh dari pusat bandar Padang iaitu lokasi perumahan mewah dan elit yang sebelum ini tular video memaparkan rumah kawasan terbabit tenggelam dengan banjir lumpur.

Keadaan di sana amat dahsyat dan sukar digambarkan dengan kata-kata, hanya yang mengalaminya sendiri tahu betapa te­ruknya kawasan itu.

Pada hari berikutnya, kami meneruskan perjalanan di luar Kota Padang yang mengambil masa kira-kira tiga jam dan jaraknya sejauh 150 kilometer.

Di sinilah kami disajikan de­ngan pemandangan yang sungguh menyayat hari dengan rumah-rumah yang hancur, lumpur dan kayu balak dari atas bukit telah menolak binaan rumah tersebut.

Di situ, kami masih dapat menghidu bau mayat dan bangkai haiwan yang menusuk ke dalam hidung. Bau itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang terkorban dan belum dijumpai.

Kediaman dan infrastruktur yang musnah serta timbunan lumpur tebal akibat tanah dan kayu balak yang dihanyutkan arus deras menyukarkan proses menyelamatkan mangsa.

Boleh kongsi cerita pasukan SAR saat sukarelawan AIM bertemu mereka?
Kami ada bertemu dengan pasukan SAR yang masih menjalankan operasi dan menyatakan pengalaman terdengar je­ritan mangsa banjir pada tengah malam antara momen menyayat hati sepanjang penugasan.

Ceritanya, ketika itu mereka sedang menjalankan SAR di sebuah perkampungan di Sumatera Barat, sebelum terdengar jeritan meminta tolong dan suara itu datang dari mangsa yang terpe­rangkap di bawah timbunan kayu balak. Pada malam itu, hanya pasukan SAR yang ada kerana semua sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah pulang

Keadaan ini menunjukkan ramai mangsa sebenarnya masih menunggu untuk diselamatkan pada waktu itu, malangnya ope­rasi menyelamat perlahan.

Ini disebabkan mereka kekurangan kemahiran dalam kerja-kerja menyelamat, ditambah pula dengan jentera yang tidak mencukupi .
Operasi menyelamat menjadi lambat, cuba bayangkan tiga kampung hancur dan tenggelam tetapi jentera untuk mengorek lumpur dikatakan hanya ada empat hingga lima unit.

Bentuk bantuan yang diperlukan oleh mangsa?
Apa yang kami perhatikan bantuan seperti makanan telah pun mencukupi. Apa yang paling diperlukan buat rakyat di sana pada masa ini adalah lampin pakai buang, susu bayi, tuala wanita dan juga pakaian.

Selain itu, barang-barang atau peralatan untuk membina kembali kehidupan seperti dapur gas, periuk nasi atau cerek turut diperlukan bagi kelangsungan hidup masyarakat di sana.
Bantuan lain yang turut diperlukan seperti makanan sedia dimakan, rawatan perubatan serta bantuan psikologi.

Apa pandangan masyarakat di sana sewaktu melihat sukarelawan dari Malaysia?
Mereka (rakyat Sumatera Barat) amat terharu tidak menyangka rakyat Malaysia sanggup datang dari jauh mahu membantu penduduk yang sangat terkesan. Mangsa banjir ini masih memerlukan bantuan daripada kita rakyat Malaysia. Mereka tidak harapkan bantuan besar, sekadar boleh memulihkan kehidupan mereka seadanya.

Harapan kepada mereka yang mahu menghulurkan bantuan kepada Aceh?
Datanglah, kepada sesiapa sahaja termasuk NGO yang mahu datang membantu, penduduk di sana memang sangat-sangat mengalu-alukannya.

Saya menyeru rakan-rakan misi kemanusiaan ataupun persatuan lain agar sama-sama meng­hulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Sumatera Barat yang semenangnya me­nerima ujian paling berat dalam kehidupan mereka.

Ceritakan serba sedikit mengenai Pertubuhan Antarabangsa Al Ain Malaysia?
Pertubuhan ini merupakan sebuah NGO kemanusiaan yang aktif membantu dalam misi bantuan dan kebajikan di Malaysia dan luar negara, terkenal dengan aktiviti sukarelawan dan sumbangan.
Misi bantuan yang diberikan termasuk penyaluran bantuan makanan, keperluan asas, dan sokongan kepada golongan memerlukan.

 

 

 

Korban banjir Sumatera cecah 1,006, Indonesia percepat pemulihan

ACEH: Jumlah korban akibat banjir dan tanah runtuh di Pulau Sumatera, Indonesia, meningkat kepada 1,006 orang, ketika Presiden Prabowo Subianto melawat ke kawasan terjejas dan menggesa usaha pembinaan semula dipercepatkan.

Menurut data terkini Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan, sekurang-kurangnya 5,400 orang cedera, manakala 217 individu masih dilaporkan hilang setakat 14 Disember.

Kerajaan Indonesia menganggarkan kos pembinaan semula di Sumatera mencecah kira-kira AS$3 bilion (RM12 bilion) susulan hujan monsun lebat yang didorong oleh taufan jarang berlaku pada awal Disember.

Fenomena cuaca luar biasa itu mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang memusnahkan bangunan, melumpuhkan bekalan elektrik serta menghalang akses jalan raya di beberapa kawasan terjejas.

Prabowo, yang melawat wilayah terjejas pada Sabtu, mengaku terdapat ‘sedikit kelewatan’ dalam usaha bantuan serta masalah bekalan air bersih, di tengah-tengah kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan mangsa banjir terhadap kadar usaha bantuan.

Beliau berikrar untuk ‘mengerahkan semua sumber negara’ bagi membangunkan semula kawasan yang rosak, selepas pihak berkuasa memastikan bekalan makanan mencukupi dan pusat pemindahan yang sesuai disediakan.

Kerajaan juga sedang menyediakan bantuan pelepasan hutang kepada mangsa banjir, selain menggantung operasi beberapa syarikat perlombongan dan minyak sawit berikutan kemungkinan kaitan dengan kejadian banjir tersebut.

Sumatera merupakan lokasi ladang kelapa sawit dan kopi. Persatuan Minyak Sawit Indonesia, Gapki, berkata ia tidak menjangkakan banjir tersebut memberi impak ketara terhadap pengeluaran minyak sawit bagi tahun 2025.- BLOOMBERG

Banjir Aceh: Penduduk rakam terima kasih kepada Malaysia atas bantuan kemanusiaan

Kuala Lumpur: Penduduk Desa Pante Lhong di Aceh, Indonesia merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan susulan banjir besar di kawasan itu baru-baru ini.

Kepala Desa Pante Lhong, Murizal K berkata sokongan dan bantuan berkenaan memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk bangkit selepas kampung mereka mengalami kemusnahan teruk akibat bencana itu.

"… khusus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan perhatian kepada kami sehingga kami kembali bersemangat dan bersedia untuk meneruskan aktiviti harian.

"Atas bantuan yang diberikan dalam bentuk ubat-ubatan mahupun makanan yang diperlukan oleh masyarakat Pante Lhong, kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih," katanya dalam rakaman video yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

Beg pasir, geotube elak hakisan Pantai Bisikan Bayu, Pachakan

KOTA BHARU: Pemasangan struktur sementara beg pasir atau geotube menjadi langkah awal paling berkesan mengurangkan hakisan di Pantai Bisikan Bayu dan Pachakan, Pasir Puteh akibat Monsun Timur Laut yang sedang melanda ketika ini.

Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr. Hamzah Hussin berkata, kaedah itu berfungsi menye­rap dan melemahkan hentaman gelombang, sekali gus memberi ruang kepada pantai untuk distabilkan sebelum penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

“Biasanya hakisan berlaku di­sebabkan tenaga ombak dan arus pesisir yang sentiasa mengalihkan pasir ke arah lain, menyebabkan bahagian tertentu pantai kehilangan sedimen lebih cepat. Apabila tenaga ombak tinggi atau arah arus berubah, pemindahan pasir menjadi tidak seimbang dan pantai mula terhakis.

“Kedua, ribut laut, angin ken­cang dan ombak bermusim seperti Monsun Timur Laut di Pantai Timur menyebabkan peningkatan tenaga gelombang. Gelombang ribut boleh mengangkut sejumlah besar pasir ke laut dalam masa singkat, lalu mencetuskan hakisan mendadak,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Hamzah memberitahu, kenaikan aras laut akibat perubahan iklim menyebabkan pantai lebih mudah ditenggelami air antara punca berlaku hakisan selain ketiadaan atau kerosakan struktur semula jadi se­perti bukit pasir rumput pantai, pokok rhu dan terumbu karang.

Katanya, struktur semula jadi ini berfungsi sebagai benteng yang menyerap tenaga ombak dan apabila ia hilang akibat pembangunan atau aktiviti manusia, pantai menjadi lebih terdedah.

“Oleh itu, setiap cadangan kawalan hakisan pantai perlu disertai kajian kesan hidro-morfologi yang menyeluruh bagi memastikan langkah diambil benar-benar berkesan ser­ta tidak menimbulkan kesan sampingan kepada kawasan pesisir lain.

“Bagi jangka panjang, pembinaan benteng pantai yang lebih berkesan dan lestari perlu dipertimbangkan, antaranya penggunaan detached (offshore) breakwaters yang dibina selari di luar garisan pantai untuk memecahkan tenaga gelombang sebelum sampai ke daratan,” ujarnya.

Hamzah berkata, struktur itu bukan sahaja mengurangkan hentaman ombak secara langsung, malah berpotensi menggalakkan pemendapan pasir di belakangnya sekali gus membantu memulihkan lebar pantai yang semakin mengecil. – MINGGUAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search