PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Tragedi Putra Height: Tidak adil pampasan diberi secara purata

SUBANG JAYA: “Saya juga mang­sa, tetapi saya rasa proses penilaian kerugian tidak dibuat dengan teliti.”

Demikian luah Mohd Sabri Nordin, 47, penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang kecewa dengan jumlah ganti rugi yang ditawarkan susulan kerosakan rumah akibat letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Mohd Sabri berkata, jumlah ganti rugi yang ditawarkan ha­nya sebanyak RM300,000 untuk setiap lot rumah sedangkan dia mempunyai dua rumah sewa yang perlu dibaiki.

“Kerugian yang dialami bukan sahaja melibatkan struktur rumah tetapi juga perabot serta perkakasan elektrik yang turut rosak.

“Dengan jumlah yang ditawarkan, ia benar-benar tidak dapat menampung semua kos pembaikan ini, apatah lagi saya perlu membaiki dua rumah sewa yang menjadi sumber pendapatan saya sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd Sabri, pe­ngiraan jumlah ganti rugi yang dilakukan tidak efektif kerana tidak mengambil kira keadaan setiap rumah yang berlainan.

Katanya, rumah-rumah di si­ni mempunyai tahap kerosakan yang tidak sama dan tidak sepatutnya pengiraan dibuat sama rata untuk setiap rumah.

“Rumah saya yang terkesan ini sepatutnya dikategorikan sebagai kerosakan separuh hancur, namun pihak berkuasa menganggap ia hanya kerosakan kecil,” katanya.

Mohd Sabri juga berkata, pihak berwajib telah meminta penduduk menggunakan wang sendiri untuk memulakan pembaikan walaupun pada awalnya dijanjikan bantuan segera.

“Pihak berkuasa menyuruh kami menggunakan wang sendiri untuk kerja-kerja pembaikan sebelum menuntut wang daripada mereka.

“Tidak mengapa jika jumlahnya kecil. Tetapi jika mence­cah berbelas ribu dari mana kami mahu cari duit tersebut?” tambahnya.

Mohd Sabri turut menyatakan bahawa penduduk di kampung itu telah sepakat untuk melantik peguam bagi menuntut ganti rugi. – UTUSAN

Kolam takungan atasi banjir Kelantan

KOTA BHARU: Pembinaan kolam takungan, pendalaman dan pelebaran sungai adalah langkah mitigasi banjir yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam mengurangkan kerugian akibat bencana alam itu selain pembinaan benteng.

Profesional teknologis dari Evo Legacy Marine Sdn. Bhd., Hafidz Izuddin Zamri berkata, syor itu berpandukan kepada geografi negeri ini yang terletak di kawasan lembangan sungai selain kerap menerima hujan lebat semasa musim tengkujuh.

“Selain itu, pemasangan pintu air, stesen pam, zon penampan hijau serta sistem amaran banjir awal turut menjadi solusi dalam menyelesaikan masalah tersebut daripada terus berulang.

“Pelaksanaan projek besar seperti ini turut berdepan cabaran berkaitan politik antara kerajaan negeri dan Pusat. Namun, penyelarasan antara agensi, ketelusan peruntukan dan ketegasan dalam pelaksanaan adalah kunci dengan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan rakyat melebihi perbezaan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, kejayaan negara luar menguruskan banjir boleh dijadikan penanda aras sepertimana dipraktikkan oleh Belanda.

Katanya, negara berkenaan mengamalkan prinsip room for the river atau ruang untuk sungai yang membenarkan sungai melimpah secara terkawal melalui zon rizab banjir dan disertai pemindahan komuniti berisiko tinggi.

“Jepun pula membangunkan sistem tebatan banjir bawah tanah seperti G-Cans di Tokyo untuk mengalirkan limpahan ke ruang bawah tanah semasa hujan lebat.

“Sementara Korea Selatan dan Thailand pula menyepadukan kolam takungan bandar, sistem ramalan hujan jangka pendek (nowcasting) dan pendidikan komuniti.

“Malaysia boleh mengadaptasi Penyelesaian Berasas Semula Jadi (NBS) dan pengurusan bersepadu lembangan sungai dengan sokongan digitalisasi dan kepintaran buatan (AI) untuk amaran awal serta perancangan respons,” ujarnya.

Akhbar ini pernah melaporkan, kelewatan me­nyiapkan projek tebatan banjir yang merupakan mitigasi utama menangani bencana itu di ne­geri ini mengakibatkan kerugian besar ditanggung penduduk dan kerajaan ekoran kemusnahan harta, infrastruktur dan hasil pertanian.

Kerugian akibat banjir yang melanda Kelantan bermula hujung November tahun lalu mencecah lebih RM300 juta dengan kerosakan melibatkan infrastruktur sahaja lebih RM80 juta manakala sektor pertanian pula dianggarkan melebihi RM30 juta.-UTUSAN

Banjir Sabah: 647 mangsa masih di pusat pemindahan

KOTA KINABALU: Seramai 647 mangsa banjir daripada 204 keluarga di Sabah masih ditempatkan di empat pusat pemindahan setakat pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan 325 mangsa daripada 103 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Sook, membabitkan 208 mangsa di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2, manakala 117 mangsa di Dewan Kampung Ansip tengah.

Di Beaufort, 287 mangsa daripada 88 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon dan di Dewan Residensi Pr1ma Woorford Estate menempatkan 35 mangsa daripada 13 keluarga.

"Sebanyak 19 kampung masih terjejas banjir, iaitu sembilan di Sook dan 10 di Beaufort," menurut kenyataan itu. – BERNAMA

 

Sabah floods: 647 remain sheltered in Sook, Beaufort

KOTA KINABALU: A total of 647 flood evacuees from 204 families in Sabah are still being sheltered at four relief centres as of this morning.

The Sabah Disaster Management Committee Secretariat, in a statement, said 325 people from 103 families are housed at two temporary relief centres in the Sook district - 208 at Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2, and 117 at the Dewan Kampung Ansip Tengah.

In Beaufort, 287 people from 88 families are being accommodated at the permanent relief centre (PPK) in Selagon, while 35 evacuees from 13 families are being housed at the Dewan Residensi PR1MA Woorford Estate.

“A total of 19 villages are still affected by the floods - nine in Sook and 10 in Beaufort,” read the statement.

Jeti setengah juta runtuh tidak sampai dua tahun dibina

MELAKA: Jeti sepanjang kira-kira 75 meter yang dibina di Taman Laut, Pulau Nangka di sini dengan kos RM460,000 runtuh dan mengalami ke­rosakan, meskipun belum mencecah usia dua tahun.

Struktur itu dibina di bawah projek Taman Laut oleh Jabatan Perikanan sebagai kemudahan menyokong aktiviti pelancongan dan pemeliharaan marin, namun kini menjadi punca kekecewaan pengunjung.

Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Abdul Rashid berkata, pembinaan jeti ber­kenaan sepatutnya mengambil kira faktor geografi serta kekuatan arus laut yang sememangnya tidak sesuai bagi struktur sedemikian.

“Sepatutnya mereka kaji dulu arus, paras air, angin dan cuaca. Di sini arus sangat kuat, tidak sesuai bina jeti jenis ini. Tidak sampai dua tahun sudah musnah.

“Ketiadaan kemudahan jeti ini menyukarkan kami pe­ngunjung untuk naik ke pulau apatah lagi ketika keadaan air surut,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, keadaan jeti yang dibina dalam lingku­ngan kawasan perlindungan Taman Laut itu runtuh, manakala persekitarannya tidak terurus dan dipenuhi sampah.

Difahamkan, ia merupakan salah satu daripada kemudahan yang dibangunkan susulan pewartaan Taman Laut Melaka pada 4 April 2023, me­libatkan tiga pulau iaitu Pulau Nangka, Pulau Lalang dan Pulau Undan.

Sementara itu, seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Rahim berkata, jeti yang dibina di Pulau Lalang turut musnah akibat faktor alam dan hanya jeti di Pulau Besar masih kukuh kerana kedudukannya yang terlindung daripada angin dan arus laut.

“Sebelum ini ada dibina jeti di Pulau Lalang tetapi telah rosak akibat faktor cuaca dan serpihannya tidak lagi kelihatan akibat dibawa ombak. Cuma tidak dapat dipastikan berapa nilai keseluruhan tetapi semuanya itu satu pembaziran,” katanya. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search