3 sungai melepasi paras bahaya di Terengganu
- Admin UKK
- Berita
Susulan Empangan Muda berselut
Sungai Chalok di Jambatan Chalok catat bacaan 8.58m.
Kemaman jadi daerah terbaharu dilanda banjir Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Kuala Terengganu: Tiga sungai melepasi paras bahaya, lima paras amaran, manakala tiga paras waspada di Terengganu.
Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai melepasi paras bahaya adalah dua di Setiu dan satu di Hulu Terengganu.
Di Setiu, ia membabitkan sungai di Kampung Besut dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok masing-masing dengan bacaan 17.99 meter (m) dan 8.58m serta Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu (21.26m).
Lima sungai yang melepasi paras amaran adalah dua sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Peneh di Kampung FELDA Mengkawang (37.15m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (18.96m); dua di Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.25m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik (1.99m) serta Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (12.03m).
Sementara itu, tiga sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (33.5m); sungai di parit utama Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.25m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.14m).
Banjir di Marang pulih Sementara itu, banjir di daerah Marang pulih apabila semua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang secara berperingkat pagi semalam.
Bagaimanapun, Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.
Setakat jam 12 tengah hari semalam, 58 mangsa daripada 14 keluarga berada di lima PPS di daerah Dungun dan Kemaman.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa teramai, iaitu 53 mangsa daripada 13 keluarga.
Mereka ditempatkan di empat PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang (19 mangsa), Balai Raya Sura Lapangan Terbang (lapan mangsa), Balai Raya Jalan Teratai (lapan mangsa) dan Balai Raya Kampung Pelandang (18 mangsa).
Di Kuala Lumpur, Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di Terengganu dan sembilan lokaliti di Kelantan sehingga hari ini.
Metmalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan antara kawasan terbabit di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Menurut kenyataan itu, amaran sama turut dikeluarkan di Kuantan, Pahang sehingga esok. Selain itu, Metmalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Gua Musang, Kelantan sehingga esok manakala di Jerantut dan Pekan, Pahang sehingga esok.