Jerebu: KPM yakin ibu bapa tahu buat pilihan hantar anak ke sekolah
- Admin UKK
- Berita
MELAKA: Ibu bapa perlu membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan keadaan kesihatan anak masing-masing susulan keadaan jerebu ketika ini bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesan pencemaran udara dan memberikan kelonggaran sekiranya terdapat keperluan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.
"Keputusan itu, bagaimanapun perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kepentingan dan keperluan anak-anak.
"Kita percaya ibu bapa boleh membuat keputusan dengan kesedaran tinggi dan berpaksikan kepada kepentingan serta keperluan anak masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pelaksanaan projek Bilik Darjah Tambahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping, berkata kelonggaran itu diberikan selepas KPM mengambil kira kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.
Katanya, garis panduan KPM berkaitan pengurusan sekolah ketika pencemaran udara masih menjadi rujukan utama.
"Bagaimanapun, tidak bermaksud kita tidak mempunyai garis panduan yang jelas. Hala tuju kita jelas, sekiranya IPU melebihi 100, semua aktiviti luar dihentikan.
"Sekiranya IPU melebihi 200, sekolah akan ditutup dan PdPR akan dilaksanakan bagi sekolah yang terbabit," katanya.
Semalam media melaporkan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan KPM memberikan kelonggaran kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan sama ada menghantar anak ke sekolah atau sebaliknya sekiranya bimbang terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.
Beliau berkata, kelonggaran itu khususnya bagi sekolah yang belum diarahkan tutup berikutan bacaan IPU masih berada di bawah paras ditetapkan, namun ibu bapa mempunyai kebimbangan terhadap keadaan kesihatan anak masing-masing.
