PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Nusa Tenggara Timur isytihar darurat susulan gempa

Nusa Tenggara Timur isytihar darurat susulan gempa

JAKARTA, 16 Ogos: Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) mengisytiharkan darurat bencana selama 14 hari susulan gempa bumi bermagnitud 7.7 yang menggegarkan wilayah itu pada Sabtu.

Lebih 5,000 penduduk kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara, dengan Kabupaten Sikka merekodkan jumlah tertinggi iaitu 3,356 orang diikuti Manggarai seramai 2,078 orang.

Jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Berton S.P. Panjaitan berkata, usaha pengurusan bencana dipergiat bagi memastikan keperluan asas mangsa seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan tempat perlindungan dapat disalurkan segera.

β€œDengan penetapan status darurat, usaha pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih maksimum, selain membolehkan kerajaan pusat mempercepatkan usaha membantu dan menangani keperluan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan gabungan turut meneruskan pengesahan kerosakan di kawasan terjejas.

Gempa berkenaan mengorbankan 47 orang, manakala sekurang-kurangnya 101 lagi cedera.

Kabupaten Manggarai merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan 23 mangsa, diikuti Manggarai Timur (17), Sikka (empat), manakala Manggarai Barat, Ende dan Nagekeo masing-masing satu kematian.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 1,357 rumah dan 167 kemudahan awam mengalami kerosakan akibat gegaran kuat.

Pasukan penyelamat kini berusaha mencari laluan alternatif bagi memastikan penghantaran bantuan dan operasi kecemasan dapat diteruskan, selain menggunakan bot dan helikopter untuk menjangkau kawasan yang masih terpencil.

Rawatan mangsa yang cedera turut menjadi keutamaan dengan perkhidmatan perubatan disediakan di hospital sedia ada serta hospital lapangan yang didirikan bagi meningkatkan kapasiti rawatan kecemasan.-TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search