Bomba pantas padam kebakaran belukar, elak api merebak ke taman perumahan
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran belukar daripada merebak ke taman perumahan berhampiran di Jalan Kampung Batu Tujuh, Shah Alam berhampiran Jalan Kebun, petang tadi.
Pegawai Bomba Kanan 1 Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Noor Azreal Abd Ghani berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kira-kira jam 7.15 malam sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik sampai di lokasi, kita dapati api sedang marak di beberapa kawasan dengan anggaran keluasan 100 kali 150 kaki persegi.
“Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti sebab tiada kesan pembakaran sampah secara terbuka, tetapi kita dapat mengawal api daripada merebak,” katanya ketika ditemui Buletin TV3, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira sejam menggunakan hos khas sepanjang 400 kaki dan dua nozel untuk mengawal sepenuhnya kebakaran di kawasan tanah wakaf berkenaan.
Menurutnya, kawasan Jalan Kebun dan sekitarnya sentiasa mudah terancam kebakaran ketika cuaca panas berikutan geografinya yang bertanah gambut.
Bagaimanapun, beliau berkata kejadian itu adalah yang pertama berlaku setakat ini dan pihaknya sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan penduduk sekitar supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kejadian luar kawalan.
