PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Jerebu makin teruk, 6 sekolah terpaksa ditutup

Jerebu makin teruk, 6 sekolah terpaksa ditutup

Kuching: Enam sekolah di Tedebu iaitu kawasan paling hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia, ditutup sementara mulai semalam susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat kesan jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan berkenaan adalah langkah pencegahan selaras ketetapan dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah.

Sehingga jam 10.30 pagi tadi, sekolah yang terkesan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sejijag membabitkan 51 murid dan 14 staf; SK Sungai Sameran (129 murid, 21 staf) serta SK Tepoi (42 murid, 15 staf).

Turut ditutup ialah SK Entubuh yang mempunyai 67 murid dan 18 staf; SK Temong (205 murid, 21 staf) serta SK Tema yang mempunyai 85 murid dan 15 staf.

JPNS menjelaskan, pengetua dan guru besar tidak perlu menunggu arahan khusus daripada PPD atau JPNS untuk mengambil tindakan penutupan sekolah sekiranya bacaan IPU di kawasan atau daerah masing-masing melebihi 200.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai langkah KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal, semua sekolah di kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200.

Dalam pada itu, JPNS berkata, proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian akan diteruskan sepanjang tempoh penutupan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Pihak sekolah juga diminta memastikan komunikasi dengan ibu bapa dan penjaga dilaksanakan dengan baik, selain memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesihatan murid sepanjang tempoh penutupan.

JPNS melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dan keadaan kualiti udara dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan, manakala sekolah perlu mengikuti perkembangan bacaan IPU dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut ketetapan KPM.

JPNS turut menegaskan keselamatan dan kesejahteraan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan, justeru ibu bapa dan penjaga diminta memastikan anak masing-masing berada dalam keadaan selamat serta mengikuti makluman rasmi daripada pihak sekolah, PPD Serian dan JPNS.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search