AI percepat tuntutan insurans bencana, perkukuh daya tahan iklim - BIMB Securities
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah cara sektor kewangan mengurus risiko bencana, termasuk mempercepatkan pemprosesan tuntutan insurans serta memperkukuh daya tahan kewangan negara terhadap perubahan iklim.
Berdasarkan laporan penyelidikan bertajuk ESG Thematic: Investing in Resilience: How AI is Reshaping Climate Risk in Malaysia yang diterbitkan BIMB Securities, Malaysia kekal terdedah kepada risiko banjir, kemarau dan kejadian cuaca ekstrem, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap penyelesaian teknologi yang lebih cekap.
Katanya, banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021 mengakibatkan kerugian ekonomi dianggarkan RM6.1 bilion serta menyerlahkan tahap kerentanan infrastruktur, operasi perniagaan dan komuniti terhadap bencana alam.
"AI mampu memperkukuh kewangan tahan iklim melalui penambahbaikan proses penilaian risiko, pemantauan dan pengesahan, selain membantu mempercepatkan penyaluran pembiayaan berkaitan bencana.
"Antara aplikasi utama yang diketengahkan ialah insurans parametrik, iaitu bentuk perlindungan yang membolehkan pembayaran pampasan dibuat secara automatik apabila penunjuk tertentu seperti jumlah taburan hujan, paras air banjir atau kelajuan angin mencapai ambang yang ditetapkan," katanya.
Berbeza dengan insurans konvensional yang lazimnya memerlukan proses penilaian kerosakan fizikal sebelum tuntutan diluluskan, pendekatan parametrik berupaya memendekkan tempoh pemprosesan, sekali gus membolehkan bantuan kewangan disalurkan dengan lebih pantas selepas sesuatu bencana berlaku.
Laporan itu turut menjelaskan penggunaan imejan satelit berasaskan AI bersama analitik iklim dapat meningkatkan keupayaan industri insurans dan kewangan dalam membangunkan pemodelan risiko yang lebih tepat, selain mempercepatkan pemprosesan tuntutan.
Selain sektor insurans, AI juga dilihat berpotensi memperkukuh instrumen kewangan berkaitan iklim seperti bon bencana (catastrophe bonds), selain meningkatkan keupayaan pemantauan, pelaporan dan pengesahan bagi pembiayaan mampan termasuk sukuk mampan serta projek peralihan tenaga.
Bagaimanapun, BIMB Securities menegaskan kejayaan penggunaan AI bergantung kepada kualiti data, ketelusan model serta rangka kerja tadbir urus yang kukuh bagi memastikan penilaian risiko iklim lebih tepat dan boleh dipercayai.
Menurut laporan itu, gabungan AI, analitik data dan teknologi automasi berpotensi meningkatkan daya tahan kewangan terhadap bencana berkaitan iklim, di samping menyokong pembangunan ekosistem kewangan mampan yang lebih berdaya tahan pada masa depan.
