RTB Sungai Kelka perkukuh mitigasi banjir Simunjan
- Admin UKK
- Berita
SIMUNJAN, 22 Julai: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kelka yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir yang sering melanda kawasan Simunjan, khususnya pada penghujung setiap tahun.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek itu merupakan antara keutamaan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur mitigasi bencana di daerah berkenaan.
“Selain RTB Sungai Kelka, projek penahan hakisan di Kampung Sageng juga sedang giat dilaksanakan.
“Kerjasama erat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta agensi kerajaan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan semua projek yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Ujud Edisi Ke-6 di Dewan Muhibbah Kampung Kelka semalam.
Beliau turut memuji semangat penduduk kampung yang berjaya meneruskan penganjuran pesta itu buat tahun keenam berturut-turut walaupun lokasi asal di tebing sungai tidak dapat digunakan.
“Pesta Ujud mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan komuniti, malah berharap aktiviti tradisional seperti nanggok senek dapat dihidupkan semula bagi menambah tarikan kepada pelancong,” ujarnya.
Beliau turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada Angkatan Anak-Anak Kelka bagi menyokong penganjuran program kemasyarakatan pada masa hadapan.-TVS
