PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Pesawah disaran optimumkan penggunaan air hujan

Pesawah disaran optimumkan penggunaan air hujan

ALOR SETAR – Pesawah disaran supaya mengoptimumkan penggunaan  air hujan bagi aktiviti penanaman padi susulan paras takungan empangan yang masih rendah dan belum mencukupi untuk tujuan pengairan sawah.

Menurut Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), berdasarkan tahap takungan yang masih di bawah 40 peratus, pihaknya menetapkan pelepasan air dari empangan pada kadar 700 kaki padu sesaat khusus bagi kegunaan domestik sahaja.

“Memandangkan MADA tidak dapat membekalkan sokongan air pengairan dari empangan buat masa ini, para pesawah disarankan beralih semula kepada kaedah penanaman tabur terus dalam air atau tabur terus basah dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber air hujan sedia ada di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan takungan tiga empangan di bawah seliaan MADA sehingga hari ini hanya mencatatkan 481,157 ekar kaki atau bersamaan 39.22 peratus.

Empangan Pedu berada pada paras 39.90 peratus (349,145 ekar kaki), Empangan Muda pada 10 peratus (12,500 ekar kaki) dan Empangan Ahning pada 52.91 peratus (117,994 ekar kaki).

Katanya, terdapat perubahan keadaan cuaca semasa yang mula menunjukkan tanda-tanda positif di kawasan lapangan.

“Berdasarkan rekod terkini sehingga semalam, purata taburan hujan di seluruh kawasan Muda mencatatkan bacaan sebanyak 122 milimeter (mm).

“Perkembangan ini secara langsung menjadikan kaedah Tabur Terus Kering (TTK) yang disyorkan sebelum ini tidak lagi relevan untuk diteruskan memandangkan keadaan tanah kini mula menerima bekalan air hujan yang mencukupi untuk memulakan fasa penanaman seterusnya,” ujarnya.

Namun, MADA menegaskan situasi bekalan air secara keseluruhan masih berada dalam keadaan berjaga-jaga. – KOSMO! ONLINE

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search