PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Indonesia tarik lesen 28 syarikat langgar peraturan berkaitan banjir

Indonesia tarik lesen 28 syarikat langgar peraturan berkaitan banjir

JAKARTA, 21 Jan: Kerajaan Indonesia secara rasmi menarik balik lesen operasi 28 syarikat yang didapati melanggar peraturan pemanfaatan hutan, dipercayai mengakibatkan kerosakan alam sekitar serta menjadi antara punca bencana banjir di wilayah Sumatera.

Syarikat-syarikat terbabit beroperasi di tiga wilayah yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Menteri Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat terhad yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto selepas Pasukan Petugas Penertiban Kawasan Hutan (Satgas PKH) membentangkan hasil siasatan terhadap syarikat-syarikat yang didapati melanggar syarat perlesenan serta peraturan alam sekitar.

“Berdasarkan laporan tersebut, Presiden telah membuat keputusan untuk menarik balik lesen operasi 28 syarikat yang terbukti melakukan pelanggaran,” katanya.

Daripada jumlah itu, 22 syarikat merupakan pemegang Lesen Usaha Pemanfaatan Hutan (PBPH) bagi hutan semula jadi dan hutan tanaman, melibatkan kawasan seluas lebih 1.01 juta hektar, manakala enam lagi syarikat membabitkan sektor perlombongan, perladangan serta pemanfaatan hasil hutan kayu (PBPHHK).

Secara terperinci, lesen 22 pemegang PBPH yang ditarik balik melibatkan tiga syarikat di Aceh, enam di Sumatera Barat dan 13 di Sumatera Utara. Manakala enam syarikat PBPHHK masing-masing melibatkan dua syarikat di setiap wilayah berkenaan.

Prasetyo menegaskan kerajaan akan terus memperketatkan pengawasan terhadap semua aktiviti berasaskan sumber alam bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, demi melindungi alam sekitar serta mengelakkan berulangnya bencana seperti banjir besar di Sumatera.  -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search