Nelayan terjejas air pasang besar terima bantuan
- Admin UKK
- Berita
LUMUT: Seramai 25 orang nelayan laut di kawasan Batu 8, Lekir, Sitiawan di sini menerima sumbangan khas bencana alam daripada kerajaan negeri berikutan kerosakan peralatan menangkap ikan termasuk sampan akibat air pasang besar baru-baru ini.
Menurut seorang nelayan, Muhammad Haris Jamin, 34, yang juga orang kelainan upaya (OKU), dia tidak dapat turun ke laut hampir seminggu disebabkan air pasang besar.
“Hujan lebat pada 14 Disember lalu menyebabkan sampan rosak teruk, enjin dimasuki air serta kerosakan peralatan menangkap ikan termasuk pukat dan jala akibat air pasang besar.
“Selain itu, timbunan sisa bencana banjir menyebabkan kami tidak dapat turun ke laut untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan seharian,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pasir Pandak, Batu 8 Lekir, Sitiawan di sini.
Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.
Muhammad Haris berkata, kerugian yang dialami mencecah puluhan ribu ringgit selain jeti yang masih tidak boleh digunakan sepenuhnya.
“Kos pembaikan mengambil masa, secara purata pendapatan saya sebulan sekitar RM1,500 yang perlu menampung isteri dan seorang pekerja. Bantuan oleh kerajaan negeri ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk membaiki kerosakan aset menangkap ikan selain perbelanjaan makanan bulanan supaya dapat turun ke laut secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Zolkafly berkata, sumbangan kasih itu melibatkan peruntukan sebanyak RM20,500 kepada 25 orang nelayan.
“Bencana banjir menjejaskan seramai 25 orang nelayan berdaftar yang mengalami kerugian melibatkan vesel serta perkakasan menangkap ikan yang telah hanyut dan rosak akibat arus deras,” katanya.-UTUSAN.
