PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

UnIPSAS dilanda banjir, 135 penuntut dipindahkan

UnIPSAS dilanda banjir, 135 penuntut dipindahkan

KUANTAN: Seramai 135 penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dipindahkan ke masjid yang terletak di kawasan tinggi kampus selepas asrama mereka dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.  

Kebanyakan mereka adalah penuntut baharu yang mendaftar pada 6 Disember lalu, selain sebahagian lagi yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing oleh pihak pengurusan universiti mengikut prosedur ditetapkan.  

Jawatankuasa Pengurusan Bencana UnIPSAS yang diketuai Pendaftar, Mohd. Faizul Abdul Hadi Nor selaku Ketua Komandan Operasi, digerakkan serta-merta dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), pihak keselamatan serta Anggota Kerja UnIPSAS (AKU).

Naib Canselor UnIPSAS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal berkata, langkah keselamatan awal turut menyaksikan penuntut terlibat ditempatkan di aras dua setiap blok asrama bagi mengelakkan risiko kenaikan paras air.

Menurutnya, Anggota Kerja UnIPSAS turut bertindak sebagai sukarelawan membantu operasi pemindahan, pengagihan bantuan dan pemantauan kebajikan penuntut.

Beliau berkata, kebajikan penuntut diberikan perhatian melalui penyediaan bantuan makanan dan keperluan asas hasil sumbangan Yayasan KOSMA, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu prihatin.

“Setakat ini, usaha bersepadu terus dipergiatkan bagi memastikan kampus UnIPSAS berada dalam keadaan terkawal, selamat dan kondusif, selain memantau perkembangan semasa daripada masa ke masa,” katanya. 

Menurutnya, pihak universiti merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dan mendoakan agar bencana banjir segera surut. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search