PETRA minta negeri terjejas banjir sedia laporan kerugian, kerosakan
- Admin UKK
- Berita
PADANG BESAR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengarahkan setiap negeri terjejas banjir untuk menyediakan laporan lengkap berhubung kos kerugian dan kerosakan melibatkan fasiliti di bawah kementerian itu untuk diteliti secara menyeluruh.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu bagi membolehkan kementerian berkenaan memulakan gerak kerja baik pulih kerosakan di negeri terlibat bermula bulan hadapan.
Beliau berkata, prinsip utama PETRA adalah bagi memastikan kerja-kerja pemulihan kritikal di negeri terkesan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
“Secara keseluruhan, kita perlu melihat situasi ini secara menyeluruh kerana bencana banjir melibatkan beberapa negeri dan kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan akan diteliti dengan sebaiknya untuk dilaksanakan selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti di Kampung Melayu Utara Padang Besar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli.
Akmal berkata, banjir yang melanda negeri ini pada akhir bulan lalu juga menyebabkan beberapa fasiliti di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengalami kerosakan melibatkan pintu air dan beberapa kemudahan lain termasuk runtuhan struktur jambatan di tiga lokasi.
Katanya, berdasarkan penilaian dilakukan, kos kerosakan dialami itu juga dianggarkan berjumlah sekitar antara RM6 sehingga RM8 juta.
“Antara perkara yang dibangkitkan adalah keperluan untuk membina semula struktur yang rosak kerana ia berkait rapat dengan keselamatan serta kehidupan masyarakat setempat,” katanya.-UTUSAN
