PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

JPS tambah pam elak UMK Kampus Kota ‘lumpuh’

JPS tambah pam elak UMK Kampus Kota ‘lumpuh’

MACHANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah sebuah lagi pam diesel menjadi tujuh pam dalam usaha mengelak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota ‘lumpuh’ sekiranya banjir melanda kawasan itu.

Naib Canselor UMK, Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, semua pam diesel dan elektrik itu berfungsi menyedut keluar air daripada bertakung sekiranya hujan lebat.

“Pam-pam ini berfungsi secara automatik apabila hujan lebat dan air bertakung.

“Pada masa sama, kita melakukan pemantauan berterusan bersama agensi berkaitan dalam usaha mengurangkan risiko banjir,” katanya selepas Program Kampung Angkat Madani Mukim Bukit Tiu yang dirasmikan oleh Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Arham berkata, pihaknya mengaktifkan bilik gerakan banjir susulan tujuh daerah dijangka banjir bermula hari ini.

“Kita mengambil langkah siap sedia dengan mengaktifkan bilik gerakan banjir. Kita juga mengingatkan pelajar supaya berada dalam keadaan bersedia dan membuat persiapan yang patut memandangkan kebanyakan pelajar sudah mempunyai pengalaman berdepan banjir bulan lalu.

“Justeru, kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa dan sekiranya berlaku banjir lagi pada kali ini dan elektrik terpaksa ditutup, maka kita akan melakukan pembelajaran dalam talian,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, JPS meramalkan kemungkinan berlaku banjir di Kelantan membabitkan kawasan rendah dan berisiko di tujuh jajahan bermula hari ini hingga 17 Disember ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memaklumkan, situasi banjir itu dijangka berlaku susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search