PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Bah besar Perlis ‘telan’ Gua Kelam

Bah besar Perlis ‘telan’ Gua Kelam

PADANG BESAR: Banjir besar yang melanda negeri ini menyebabkan jambatan di dalam Gua Kelam 1 terputus, sekali gus menyaksikan lokasi pelancongan tersebut terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Gua Kelam antara lokasi terjejas teruk berikutan banjir bermula 23 November lalu yang menyaksikan kawasan sekitar Wang Kelian dan Kaki Bukit turut ditenggelami air dan disifatkan terburuk dalam tempoh 40 tahun.

Selain di dalam gua, kawasan sekitar lokasi gua berkenaan juga terjejas teruk, memerlukan kerja-kerja naik taraf dan dijangka kembali beroperasi Jun tahun depan.

Pengarah Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, panjang keseluruhan jambatan di dalam gua adalah 350 meter dan jambatan yang terputus itu membabitkan panjang 100 meter iaitu melibatkan laluan awal.

Katanya, ekoran itu, jambatan di dalam gua sudah tidak boleh dilalui dan memerlukan kerja-kerja naif taraf semula yang dianggarkan menelan belanja RM500,000.

“Situasi yang berlaku di Gua Kelam 1 itu dilihat paling buruk sehingga menyebabkan jambatan di dalam gua terputus. Sebelum ini, jika banjir sekali pun, tidak pernah merosakkan jambatan.

“Paras air ketika banjir baru-baru ini mencecah 10 meter dari muka gua selain arus deras yang melimpah keluar sehingga menenggelam kawasan pelancongan berkenaan.

“Gua Kelam 1 akan ditutup bagi membolehkan kerja-kerja naif taraf dilaksanakan. Pelancong boleh datang ke Gua Kelam 2 bermula cuti sekolah ini memandangkan lokasi berkenaan tidak terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Gua Kelam 1 mendapati, lokasi berkenaan terjejas teruk dengan kemudahan dan infrastruktur sekitar juga banyak yang musnah.

Malah, struktur laluan pejalan kaki di pintu masuk gua yang pecah, mendap serta jambatan di dalam gua yang terputus menyaksikan ia tidak lagi selamat untuk digunakan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya berkata, impak banjir menyebabkan banyak lokasi pelancongan di Perlis terjejas dengan kerja-kerja pembaikan akan dilaksana selepas ini.

“Antara lokasi pelancongan terjejas adalah seperti Gua Kelam, View Point Wang Kelian, Timah Tasoh dan Taman Negeri. Kerajaan negeri juga akan bergerak bersama agensi-agensi berkaitan bagi melakukan kerja-kerja pemulihan di lokasi pelancongan terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, keadaan banjir di negeri ini semakin pulih dengan jumlah mangsa terus menunjukkan penurunan kepada 1,092 membabitkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search