PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Asia Tenggara dihantui cuaca buruk

Asia Tenggara dihantui cuaca buruk

ASIA Tenggara sekali lagi diuji dengan bencana cuaca yang semakin melampau, di mana Vietnam mencatatkan kesan paling teruk, manakala impaknya merebak hingga ke Hatyai, Thailand dan beberapa kawasan di Malaysia.

Tahun 2025 menjadi saksi hujan lebat luar biasa dan banjir besar yang mengancam kehidupan berjuta-juta penduduk di rantau ini.

Data dan laporan meteorologi menunjukkan corak cuaca yang dahulunya jarang berlaku kini menjadi kebiasaan, menimbulkan kebimbangan terhadap trend perubahan iklim dalam tempoh jangka panjang.

Sejak beberapa dekad lalu, kajian menunjukkan frekuensi hujan ekstrem dan banjir meningkat di Asia Tenggara.

Laporan rantau 1980 hingga 2022 mendapati banjir dan cuaca ekstrem menjadi bencana paling kerap di rantau ini, dengan bandar-bandar utama di Asia Selatan dan Tenggara mengalami fenomena 'trend basah' paling ketara berbanding wilayah lain di dunia.

Gelombang panas dan cuaca kering luar biasa turut dilaporkan, memperlihatkan kerumitan perubahan iklim yang semakin meningkat.

Sepanjang 2025, Vietnam mengalami hujan luar biasa yang menyebabkan banjir meluas dan tanah runtuh.

Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan, manakala kemusnahan harta benda mencecah tahap kritikal. Di Thailand, terutamanya di Hatyai, ribut monsun dan hujan lebat menenggelamkan bandar serta memaksa pemindahan ribuan penduduk.

Pakar meteorologi menegaskan fenomena cuaca ini bukan sekadar kebetulan. Pemanasan global, peningkatan aras laut dan pola angin yang tidak stabil menyumbang kepada intensiti dan kekerapan bencana.

Kawasan pesisir, delta sungai, dan bandar rendah menjadi hotspot risiko bencana, manakala sistem saliran dan zon rizab banjir yang lemah mempercepat impak kerosakan.

Melihat trend semasa, ramalan untuk hujung 2026 juga tidak membanggakan. Pakar iklim meramalkan fenomena ekstrem seperti banjir besar, gelombang panas dan ribut luar musim akan meningkat, terutama di negara-negara delta dan pesisir seperti Malaysia, Vietnam, dan Thailand.

Sekiranya persediaan mitigasi dan adaptasi tidak diperkukuh, risiko terhadap sektor pertanian, perumahan, kesihatan dan ekonomi akan terus meningkat.

Bagi rakyat, ini bermakna lebih banyak kehilangan tempat tinggal, gangguan bekalan makanan dan air, serta risiko penyakit berkaitan banjir.

Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mempercepat tindakan seperti pembinaan sistem saliran mantap, pemulihan hutan bakau, sistem amaran awal dan dasar perubahan iklim bersepadu.

Selain itu, kerjasama serantau juga kritikal kerana cuaca ekstrem tidak mengenal sempadan negara.

Sejarah menunjukkan bahawa Asia Tenggara bukan asing dengan banjir besar. Namun, tahun 2025 menandakan salah satu episod paling mencabar dalam dekad terakhir, dengan rekod hujan ekstrem dan kerosakan meluas yang memberi impak sosial, ekonomi dan psikologi kepada penduduk.

Kota-kota delta sungai seperti Ho Chi Minh, Bangkok dan beberapa bandar di Pantai Timur Malaysia menghadapi risiko paling tinggi, menuntut strategi pemulihan jangka panjang yang lebih holistik.

Jelas bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan, tetapi realiti kini. Jika 2025 sudah memperlihatkan kesan suram, 2026 bakal berpotensi lebih mencabar kecuali tindakan segera diambil oleh masyarakat dan pihak berkuasa untuk menanganinya.

Tanpa persiapan rapi, harga yang bakal dibayar oleh rakyat dan negara mungkin jauh lebih tinggi. Kesedaran awam, pelaburan infrastruktur, dan kerjasama serantau kini menjadi keperluan mendesak bagi menangani bencana yang semakin ekstrem.

 

 

 

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search