Anwar zahir komitmen penuh kerajaan bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang semakin memburuk dan kini menjejaskan lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri.
Perdana Menteri yang kini berada di Kenya bagi urusan rasmi berkata, beliau mengikuti rapat setiap perkembangan bencana itu dan menerima laporan berkala daripada agensi berkaitan.
"Menurut laporan yang diterima, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama semua aset agensi berkaitan sudah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan rakyat yang masih terperangkap, disamping memastikan bantuan segera sampai kepada semua mangsa.
"Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga sudah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan MADANI ke semua kawasan terjejas untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa banjir di hampir 100 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah dibuka di tujuh negeri.
"Saya menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diminta segera berpindah. Keselamatan keluarga harus menjadi keutamaan.
"Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.
"Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini," katanya.
