PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Mangsa banjir di Selangor kini 2,000 orang

Mangsa banjir di Selangor kini 2,000 orang

SHAH ALAM: Jumlah mangsa banjir di Selangor kini meningkat kepada 2,000 orang dan peningkatanya dilihat mendadak dalam tempoh 12 jam susulan hujan berterusan sejak petang semalam hingga ke hari ini.

Mereka terdiri daripada 564 keluarga yang berpindah ke 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Hulu Langat.

Kawasan dilihat paling terjejas teruk adalah di Ijok, Kuala Selangor apabila hampir 1,000 penduduk dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman yang terdiri daripada 212 keluarga.

Malah, berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kapasiti penempatan di PPS berkenaan kini sudah pun melebihi 100 peratus.

Selain itu, seramai 37 lagi mangsa dari 10 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu di Pusat Perkhidmatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) Kampung Jaya Setia, Ijok dan SK Bukit Kerayong, Jeram.

Sementara di Sabak Bernam, seramai 70 penduduk di Kampung Nelayan, Sungai Besar terdiri daripada 22 keluarga dipindahkan di PPS Dewan Seri Bernam apabila kawasan bekenaan dilanda bah sejak semalam.

Turut dilanda banjir sejak semalam adalah di Sekinchan apabila seramai 24 mangsa dari tujuh keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Sri Sekinchan.

Di ibu negeri pula, peningkatan mangsa banjir dipindahkan juga dilihat meningkat apabila seramai 428 mangsa dari 129 keluarga dipindahkan ke tiga PPS iaitu di SK Shah Alam Seksyen 16, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Seksyen 16 dan Masjid Al Falah Kampung Budiman, Seksyen U14.

Di Taman Sri Muda, Seksyen 25, seramai 128 mangsa dipindahkan ke PPS di Dewan Bakawali Seksyen 35 apabila paras Sungai Rasau dilapor melimpah terutama yang turut menjejaskan Taman Desa Kemuning di Seksyen 35.

Satu PPS dibuka di SK Sungai Binjai, Meru apabila Sungai Binjai dilaporkan melimpah mengakibatkan beberapa kawasan perumahan terutama di Persiaran Hamzah dan Jalan Paip dinaiki air. Seranau 164 mangsa dari 50 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.

Sementara di Hulu Langat, tiga PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Kompleks Penghulu Batu 10, SRA Dusun Nanding dan Balairaya Kampung Melaka, Batu 9 yang menempatkan seramai 190 mangsa banjir dari 81 keluarga.

Tinjauan paras air di lembangan-lembangan sungai utama di negeri ini menunjukkan dua stesen pemantau di Saujana Aman dan Pintu Air Ijok, Kuala Selangor (Sungai Buloh) berada di paras bahaya sehingga pukul 9.45 malam, tadi. Sementara di Sabak Bernam pula berada di paras amaran.

Di Lembangan Sungai Langat, tiga stesen pemantau di Batu 12, Hulu Langat, Jenderam Hilir, Sepang dan Bukit Changgang mencatatkan paras air melepasi paras bahaya iaitu 43.12, 11.43 dan 4.84 meter (m).

Di Klang pula, empat stesen pemantauan paras air Sungai Klang dan Sungai Binjai iaitu di Bandar Klang, Pekan Meru (Sungai Binjai), Taman Desa Kemuning dan Kampung Lombong juga melepas paras bahaya antara 3.22m hingga 4.65m.

Di Shah Alam, stesen pemantauan paras sungai di Batu Tiga (Sungai Damansara) dan Kampung Budiman (Sungai Bakul) masing-masing berada di paras amaran dan bahaya iaitu 5.01m dan 8.17m. – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search