Derita 30 tahun penduduk Kampung Borunuon, Telipok
- Admin UKK
- Berita
TELIPOK, 4 Nov: Apabila hujan mula turun, penduduk Kampung Boronuon, Telipok mula berasa gelisah kerana mereka perlu bersiap sedia menghadapi bencana banjir sampah yang sudah menjadi rutin hidup selama berdekad-dekad.
Air sungai yang sepatutnya jernih berubah menjadi aliran air kotor, sarat dengan botol plastik, tilam rosak, barangan elektrik dan sisa buangan rumah yang hanyut dari penempatan di atas bukit.
“Asal hujan, sampah turun. Asal banjir, sampah datang. Sudah lebih 30 tahun begini,” luah Jainin Kinsum, 65, penduduk lama kampung ini.
Sungai yang Tidak Lagi Bernyawa
Bagi Jais Elah, 49, masalah ini bukan sekadar tentang bau busuk atau pemandangan kotor. Ia soal kesihatan dan keselamatan.
“Kalau hujan, air naik dua kaki. Semua sampah naik sekali. Kadang-kadang ada bangkai anjing, sisa makanan, plastik… semua hanyut ke rumah kami,” katanya sambil menunjuk ke arah sungai yang berlumpur di belakang rumahnya.
Menurut Jais, punca utama datang dari penempatan semula di atas bukit yang didiami penduduk yang dipindahkan dari Pulau Pondo, Kota Kinabalu.
“Mereka buang sampah dari atas sana. Sungai kami jadi tempat pembuangan. Bila air naik, semua sampah turun ke bawah,” tambahnya.
Penduduk sudah berkali-kali membuat aduan kepada pihak berwajib. Tetapi seperti air yang mengalir tanpa arah, tiada tindakan yang benar-benar menyelesaikan masalah itu.
30 Tahun Aduan Tanpa Jawapan
“Sudah lebih 30 tahun kami tunggu tindakan. Pihak kampung, JPKK semua sudah buat aduan, tapi tetap juga sama,” kata Jais lagi.
Setiap kali sungai dibersihkan atau dikorek bagi tujuan pelebaran sungai oleh pihak berkuasa, keadaan hanya bertahan dua atau tiga tahun sebelum kembali seperti asal dan kembali tersumbat dengan longgokan sisa.
Bagi Normah Lahu, 37, setiap kali hujan lebat menjadi waktu paling mendebarkan.
“Air naik, sampah semua datang. Kami tunggu surut baru boleh bersihkan sendiri. Kadang-kadang sehari suntuk kami bersih dan kemaskan kawasan rumah. Bau busuk, air hitam. Tapi siapa lagi mahu datang tolong?” katanya.
Sistem Parit yang Lumpuh
Menurut penduduk, sistem perparitan di kawasan perumahan atas bukit yang belum memiliki nama sebenar perkampungan menjadi punca utama aliran air tersumbat dan sampah hanyut ke bawah.
“Sistem parit mereka memang tidak bagus. Bila hujan, semua sampah plastik, botol mineral, tilam buruk, turun ke tempat kami,” ujar Normah.
Mereka percaya, tanpa pelan perparitan yang teratur dan pemantauan ketat, masalah ini tidak akan selesai walau berapa kali dikorek atau dibersihkan.
Sampah yang Menjadi Takdir
Dalam tinjauan TVS, keadaan sungai di Kampung Borunuon jelas memperlihatkan betapa kroniknya isu ini.
Sampah-sampah terapung bersama sisa banjir membentuk benteng buatan, menyebabkan air melimpah ke kawasan rumah setiap kali hujan lebat.
Di beberapa sudut, kelihatan pokok tumbang menjadi tempat tersangkutnya plastik, tilam busuk dan barangan rumah.
“Kalau dilihat dari jauh, orang sangka sungai ini sekadar kotor…tapi bila dekat, kita tahu ini sudah jadi penyakit kepada kami, ” kata Jainin.
Bagi komuniti kecil ini, harapan mereka tidak besar, hanya mahukan sungai kembali bersih dan sistem perparitan yang berfungsi.
Mereka mahu pihak berkuasa melihat dengan mata sendiri bagaimana sungai yang dulunya sumber kehidupan kini menjadi ancaman.
“Harapan kami, buatlah sistem yang bagus. Janganlah buang sampah lagi. Tolonglah kami yang di bawah ini,” rayu Norma.
Masalah yang berlarutan hampir empat dekad ini bukan lagi sekadar isu kebersihan, tetapi cerminan kepada kegagalan sistem pengurusan sampah dan pembangunan seimbang.
Setiap kali hujan turun, Kampung Borunuon mengingatkan kita bahawa di sebalik limpahan air yang membawa kehidupan, tersembunyi juga beban yang dibuang manusia yang akhirnya kembali kepada kita sendiri.
