PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Gelombang haba melanda Eropah, tingkat risiko kebakaran hutan di Perancis

Gelombang haba melanda Eropah, tingkat risiko kebakaran hutan di Perancis

PARIS: Gelombang haba melanda beberapa bahagian Eropah pada Isnin, dengan suhu mencecah sehingga 43 darjah Celsius di selatan Perancis dan meningkatkan risiko kebakaran hutan di kawasan pengeluar wain.

Manakala Bulgaria turut berdepan kebakaran di sepanjang sempadan selatannya dan Hungary mencatatkan suhu tertinggi baharu hujung minggu lalu.

Menurut saintis, Eropah kini menjadi benua yang paling pantas mengalami pemanasan di dunia. Berdasarkan laporan Carbon Brief yang berpangkalan di United Kingdom (UK), tahun 2025 dijangka menjadi tahun kedua atau ketiga terpanas dalam rekod.

Suhu daratan di Eropah telah meningkat kira-kira 2.3 darjah Celsius berbanding era pra-industri, hampir dua kali ganda kadar global, sekali gus memperhebatkan gelombang haba, menurut perkhidmatan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU).

Data EU menunjukkan keluasan kawasan terbakar di seluruh benua musim panas ini jauh melebihi purata jangka panjang, dengan kebakaran besar di Sepanyol, Portugal dan kebakaran maut di Greece sejak akhir Jun.

Pejabat Meteorologi UK menjangkakan gelombang haba keempat musim panas ini akan memuncak sekitar 33 darjah Celcius di London pada Selasa. Agensi Keselamatan Kesihatan UK telah mengeluarkan amaran kesihatan kuning bagi warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Di wilayah Aude, Perancis iaitu kawasan yang dipenuhi ladang anggur dan belukar Mediterranean, ratusan anggota bomba berkawal di pinggir kebakaran besar yang memusnahkan 16,000 hektar minggu lalu.

Pihak berkuasa berkata kebakaran itu kini terkawal, namun memberi amaran ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk dipadam sepenuhnya, dengan beberapa titik panas masih membara dan berisiko menyala semula.

Pada Isnin, pihak berkuasa cuaca nasional Perancis, Météo-France, meletakkan 12 wilayah di bawah amaran merah iaitu tahap amaran haba tertinggi negara itu, menjangkakan cuaca panas luar biasa dari pantai Atlantik hingga ke dataran Mediterranean.

Sebanyak 41 wilayah lain pula berada dalam amaran jingga, termasuk negara jiran Andorra yang terletak di antara Perancis dan Sepanyol.

Imej di media sosial memaparkan jalan-jalan di Valence yang ditutup, penduduk menutup tingkap dengan kerajang aluminium untuk memantulkan cahaya, dan pelancong berteduh di bawah payung di tebing Sungai Garonne di Toulouse. Di seluruh kawasan selatan, teres kafe kosong apabila orang ramai memilih berada di dalam bangunan yang lebih sejuk.

Amaran merah di Perancis hanya pernah dikeluarkan lapan kali sejak ia diperkenalkan pada 2004, selepas musim panas maut setahun sebelumnya. Ia dikhususkan bagi keadaan panas melampau yang berpanjangan dengan risiko besar terhadap kesihatan serta potensi mengganggu kehidupan harian. -AGENSI

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search