Dewan Rakyat: Kerajaan teliti peruntukan tetap untuk kerajaan negeri urus sungai, banjir
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR, 4 Ogos: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menyalurkan peruntukan tetap secara tahunan kepada semua negeri bagi tujuan penyelenggaraan dan pengurusan banjir yang lebih berkesan, berbanding pendekatan ‘ad hoc’ atau one-off yang diamalkan ketika ini.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, cadangan itu memerlukan kajian mendalam sudut dasar dan perundangan agar tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana jelas beliau hal ehwal sumber air, sungai dan saliran berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan amat menyedari keperluan dan cadangan untuk menyalurkan peruntukan tetap secara tahunan, selaras dengan keperluan semasa bagi memastikan penyelenggaraan dan pengurusan banjir yang lebih berkesan,” katanya ketika sesi Pertanyaan- Pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chow Kon Yeow (Pakatan Harapan- Batu Kawan) yang ingin tahu berkenaan penambahbaikan penyaluran peruntukan tetap secara tahunan dan bukan ‘ad hoc’ atau one-off sebagaimana dipraktis kepada semua negeri bagi memastikan penyelenggaraan serta pengurusan banjir yang lebih holistik.
Mengulas lanjut Akmal Nasrullah menjelaskan, kementerian juga sedang meneliti pendekatan ke arah pembangunan satu sistem pengurusan sungai dan aset yang lebih bersepadu, mengambil ilham daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) yang digunakan bagi tujuan penyelenggaraan jalan negeri.
“MARRIS berpunca kuasa daripada Perkara 109(1)(b) Perlembagaan Persekutuan di bawah pemberian penyenggaraan jalan negeri. Sistem tersebut mengumpul data panjang dan lebar jalan untuk dianalisis dan diselaraskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum peruntukan disyorkan kepada Kementerian Kewangan,” jelasnya.
Tambah beliau meskipun Kerajaan Persekutuan boleh menyediakan bantuan kewangan dan teknikal, tanggungjawab utama bagi penyelenggaraan sungai masih terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti termaktub dalam peruntukan sedia ada. – TVS