Empangan Bukit Merah masih kritikal di sebalik peningkatan paras air
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Empangan Bukit Merah, Perak menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus baki stok simpanan semasa air mentah hari ini, namun masih berada pada paras kritikal iaitu 16.83 peratus berbanding 16.43 peratus semalam.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata selain itu terdapat dua empangan berada pada paras waspada iaitu Empangan Muda, Kedah pada paras 32.95 peratus dan Empangan Ahning, Kedah (58.54 peratus).
Menurutnya, Empangan Bukit Merah berada di bawah paras normal sejak 17 Jun lalu.
"Pejabat Operasi Empangan Bukit Merah sudah menghentikan bekalan pengairan setelah paras air mencapai bawah 20 kaki dan hanya membekalkan air ke loji loji Lembaga Air Perak (LAP) berkuat kuasa 21 Julai lalu.
"Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah berada di bawah paras normal bermula semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut mengeluarkan hebahan ramalan kemarau bagi satu lembangan sungai, iaitu Lembangan Sungai Muda, Baling, Kedah di satu stesen iaitu Sungai Ketil, Kuala Pegang, Baling, Kedah.
"Dua stesen kadar alir masih menunjukkan kadar alir sungai di bawah normal iaitu Sungai Pahang di Temerloh, Pahang dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai, Kelantan yang telah dikemas kini semalam," katanya.