Bendera dikibar separuh tiang di Texas, tanda hormat mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
KERRVILLE: Bendera di seluruh Texas, Amerika Syarikat (AS) dikibar separuh tiang pada Rabu sebagai tanda menghormati mangsa kejadian banjir kilat yang meragut sekurang-kurangnya 119 nyawa pada 4 Julai lalu.
Gabenor Texas, Greg Abbott, mengeluarkan arahan mengibarkan bendera separuh tiang pada awal pagi Rabu dan ia akan berkuat kuasa sehingga awal pagi Isnin depan.
Menurut angka yang dimaklumkan Abbott, lebih 170 individu masih belum ditemui, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa angka korban mungkin meningkat.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat tidak menemui mangsa yang masih hidup sejak hari kejadian.
Kawasan Kerrville, yang merupakan pusat daerah Kerr County, mengalami kerosakan teruk apabila hujan lebat melanda pada awal pagi Jumaat yang mana limpahan air Sungai Guadalupe mencapai ketinggian hampir 30 kaki.
Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan harapan agar mangsa yang terselamat ditemui meskipun peluang tipis.