PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

DUN Selangor: Lebih setengah bilion ringgit dibelanja atasi banjir

DUN Selangor: Lebih setengah bilion ringgit dibelanja atasi banjir

SHAH ALAM: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor menerima peruntukan berjumlah RM548 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi melaksanakan 12 projek mitigasi banjir di lapan kawasan sekitar Hulu Langat.

Daripada peruntukan tersebut, sebanyak RM36 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan projek tebatan melibatkan naik taraf ban, sistem saliran dan pemasangan pam di Kampung Rinching, Semenyih serta Kampung Batu 10, Cheras.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, sebanyak RM512 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 di Bandar Kajang, Kampung Sungai Serai, Kampung Sungai Lui, Kampung Dusun Tua Nanding, Taman Sri Jelok dan Sungai Kantan.

“Skop pekerjaan melibatkan kerja-kerja termasuk penyiasatan tanah, perobohan dan pembersihan, pelebaran dan pendalaman Sungai Langat, pembinaan ban banjir, pintu kawalan air, sistem pam, kolam takungan, meroboh dan membina semula jambatan dan lintasan, saliran keluar limpahan air, pengukuhan tebing, pengalihan utiliti serta ukur dan pewartaan.

“Kerja menaiktaraf yang dilaksanakan di kawasan Dusun Tua melibatkan penyelenggaraan dan pembersihan Sungai Langat, Kampung Sungai Serai dan Saliran Parit Utama yang menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri berjumlah RM360,990,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Jelas Izham yang juga ADUN Pandan Indah, beliau turut mengadakan lawatan ke pihak berkuasa tempatan (PBT) di Klang, Shah Alam, Subang Jaya serta Kuala Selangor dan dalam perancangan untuk melawat ke tujuh lagi PBT mengikut keutamaan senario banjir.

“Mesyuarat dan lawatan diadakan secara berperingkat setiap bulan bagi membincang dan menyelaraskan tindakan penyelesaian isu banjir termasuk cadangan langkah segera bagi mengurangkan risiko banjir,” ujarnya.

Beliau berkata, malah kerajaan negeri juga melaksanakan langkah jangka sederhana mitigasi banjir dalam tempoh enam bulan yang dibentang dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri (MMKN). – UTUSAN

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search