PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Siasatan teknikal letupan gas Putra Heights siap esok

Siasatan teknikal letupan gas Putra Heights siap esok

SHAH ALAM – Siasatan teknikal berhubung insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka siap sepenuhnya pada Khamis.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor, Jay Jay Clement Dennis berkata, sebaik siasatan selesai, pasukan penyiasat akan menyediakan laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

“Maklumat mengenai pengumuman hasil siasatan akan dikongsikan kepada umum dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian pada 3 Jun lalu melaporkan bahawa siasatan teknikal berhubung insiden letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dijangka dapat dilengkapkan pada 26 Jun ini.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, siasatan teknikal yang diketuai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang berjalan seperti masa yang telah ditetapkan.

Menurut beliau, kajian itu akan meneliti pelbagai faktor termasuk keutuhan paip, pergerakan tanah dan kemungkinan aktiviti luar yang memberi tekanan kepada sistem bawah tanah.

Insiden kebakaran itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk setempat termasuk desakan yang menggesa siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, termasuk siasatan membabitkan unsur kecuaian atau khianat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini masih menunggu hasil siasatan oleh JKKP yang dijangka dikeluarkan penghujung bulan depan.

Beliau berkata, setakat ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mengeluarkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

Dalam insiden pada 1 April lalu, sebanyak 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search