Banjir di barat daya China, lebih 80,000 orang dipindahkan
- Admin UKK
- Berita
BEIJING – Lebih 80,000 penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman mereka susulan banjir besar yang melanda wilayah Guizhou di barat daya China, lapor media rasmi Beijing hari ini.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pasukan penyelamat telah dikerahkan ke dua daerah yang paling terjejas, manakala pihak berkuasa turut meningkatkan tindak balas kawalan kecemasan banjir ke tahap tertinggi.
Antara kawasan paling teruk dilanda adalah daerah Rongjiang, di mana sebuah padang bola sepak dilaporkan tenggelam sehingga tiga meter di bawah paras air.
Seorang penduduk tempatan, Long Tian, berkongsikan detik cemas yang dialaminya.
“Air naik terlalu cepat. Saya menunggu di tingkat tiga untuk diselamatkan. Menjelang petang, saya telah dipindahkan ke tempat selamat,” katanya kepada Xinhua.
Setakat petang semalam, seramai 80,900 orang telah dipindahkan dari kawasan kediaman mereka bagi mengelak risiko bertambah buruk akibat banjir yang tidak dijangka itu.
Pada minggu lalu, puluhan ribu penduduk di wilayah Hunan, tengah China, diarahkan berpindah susulan hujan lebat berterusan yang meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh di kawasan terbabit. – AFP