KKM kekal dengan polisi tidak wajibkan dos tambahan Covid-19
- Admin UKK
- Berita
SEREMBAN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang mewajibkan pengambilan dos tambahan baharu vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun golongan rentan dan berisiko tinggi termasuk mereka yang belum pernah mendapatkan vaksinasi digalakkan mengambilnya.
“Tapi nak katakan semua itu tidaklah kerana itu bukan dasar buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Minda Sihat, Komuniti Sejahtera Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Masjid Kariah Taman Bandar Senawang di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keperluan mewajibkan pengambilan dos tambahan vaksin Covid-19 berikutan peningkatan kes ketika ini.
Menurutnya, mereka yang ingin mendapatkan vaksin tambahan boleh datang ke klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara dan bekalan adalah mencukupi. “Saya ada pasukan perubatan yang sentiasa memantau situasi kes ini.
“Tapi kita akan menimbang cadangan itu (wajibkan pengambilan dos tambahan) sekiranya ada keperluan,” katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhan situasi kes Covid-19 di negara ini berada dalam keadaan terkawal dan kerajaan telus dalam menyalurkan maklumat berhubung perkara itu.
Bagaimanapun katanya, KKM bersedia untuk bertindak pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pentingnya untuk setiap individu melakukan saringan kesihatan secara berkala bagi membantu mengesan penyakit atau masalah kesihatan pada peringkat awal.
“Sangat penting untuk kita tekankan saringan kesihatan, tapi saringan saja tidak cukup dan ia memerlukan intervensi serta rawatan.
“Pada masa sama perlu juga amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman dan diet,” katanya.