PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Taufan Erick di Guerrero, bawa hujan lebat dan banjir

Taufan Erick di Guerrero, bawa hujan lebat dan banjir

GUERRERO, 20 Jun- Taufan Erick terus melanda pantai negeri Guerrero, Mexico pada Khamis dengan hujan lebat dan banjir, meskipun ribut itu semakin lemah selepas membadai pesisir selatan Pasifik negara berkenaan.

Ribut itu meninggalkan kesan kerosakan terhadap premis perniagaan dan jalan raya yang dibanjiri di seluruh negeri Guerrero.

Penduduk tempatan dilihat meninjau kerosakan, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa hujan lebat akibat Taufan Erick masih berisiko dan berbahaya.

Di kawasan pantai La Bocana, kenderaan dilihat meredah jalan yang dinaiki air susulan hujan berterusan meningkatkan risiko banjir di seluruh kawasan terbabit.

Nelayan di pantai La Bocana Gustavo Hernandez, berkata, kawasan rumah paling terjejas berikutan taufan yang melanda kawasan itu.

"Kami berada di sini di pantai La Bocana. Rumah-rumah paling terjejas, dengan beberapa bumbung yang diperbuat daripada timah rosak. Di sinilah kami melihat kerosakan yang paling banyak.

"Sesetengah perniagaan mempunyai bumbung yang diperbuat daripada kayu diterbangkan angin kuat hingga menyebabkan struktur bangunan runtuh," katanya.

Restoran dan premis perniagaan di tepi pantai antara yang paling terjejas, dengan serpihan kayu dan ranting bertaburan di sepanjang pantai.

Sementara itu pemilik hotel Martha Bustos, berkata, hotel miliknya hanya mengalami kerosakan kecil dan masih b eroperasi seperti biasa.

"Saya datang untuk melihat apa yang berlaku kepada perniagaan saya dan saya melihat bahawa kami baik-baik saja. Saya bersyukur ia hanya kerosakan kecil.

"Di sini, tidak terjejas seperti di kebanyakan lokasi tetapi keadaan hujan masih berterusan. Buat masa ini semuanya baik-baik saja. Beberapa hari lalu terdapat sedikit gangguan yang menjejaskan kami, tetapi sekarang, semuanya baik-baik saja," katanya.

Dalam pada itu Agensi Perlindungan Awam Mexico mengesahkan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Namun, pihak berkuasa terus mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap risiko hujan lebat yang masih berterusan ketika ribut bergerak ke kawasan pedalaman.- REUTERS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search