PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Berita

Keengganan berpindah sukarkan operasi selamat mangsa banjir

Keengganan berpindah sukarkan operasi selamat mangsa banjir

Chukai: Polis mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mula melanda negeri ini sejak semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, keengganan sesetengah mangsa untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) antara kesukaran dihadapi pihak berkuasa ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir.

"Apa yang menjadi kebimbangan pihak penyelamat apabila kemungkinan ada di antara mangsa yang tidak mahu berpindah ke PPS.

"Jadi, saya nasihatkan mangsa banjir mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak berpindah pada saat akhir.

"Kita tidak mahu mereka menghadapi keadaan kritikal dan menyukarkan pihak penyelamat untuk melakukan operasi menyelamat terutama pada waktu malam.

"Segera berpindah jika keadaan air semakin naik dan jangan tunggu arahan pihak berkuasa," katanya ketika membuat tinjauan di pos kawalan bencana di Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai mangsa akan dipindahkan terutama di kawasan sekitar Chukai.

Katanya, lebih 10,000 mangsa akan terjejas sekiranya banjir melanda kawasan Chukai terutama penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kemaman.

"Lebih 80 PPS beroperasi di seluruh Kemaman yang boleh menempatkan seramai 40,000 mangsa banjir.

"Banjir boleh berlaku disebabkan dua kemungkinan iaitu taburan hujan yang banyak dan pertembungan air pasang besar beserta hujan lebat.

"Penduduk khususnya di kawasan berhampiran sungai, hendaklah sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan segera berpindah sekiranya mendapati paras air sungai semakin naik.

"Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau pergerakan anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir bagi mengelak kejadian lemas," katanya.

 

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search