Siling rumah jadi 'stor' simpan barang musim bah
- Admin UKK
- Berita
Kuala Berang: Selain 'rumah banjir' yang dijadikan stor simpanan bagi menghadapi musim bah, siling rumah turut menjadi tempat menyimpan barangan paling selamat bagi sesetengah penduduk di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Menerong, dekat sini.
Zuraida Yusof, 46, berkata, dia mengambil langkah menempatkan barang di atas siling sejak dua tahun lalu bagi mengelak ia ditenggelami banjir.
Menurutnya, sebelum ini rumah banjir iaitu stor di luar rumah yang dibina lebih tinggi dijadikan tempat penyimpanan barangan bagi mengelak kerosakan akibat banjir.
Namun, katanya peningkatan paras banjir yang tinggi mendorongnya menjadikan siling rumah sebagai salah satu tempat penyimpanan barangan setiap kali musim tengkujuh.
"Saya menggunakan papan lapis dan di alas di atas kekuda kayu pada siling untuk menampung beban barangan yang disimpan dan ia terbukti lebih praktikal dalam menghadapi banjir.
Zuraida berkata, jika sebelum ini, paras air banjir biasanya mencecah ketinggian antara satu hingga 1.5 meter namun sejak kebelakangan ini, paras air mencecah hingga dua meter di dalam rumah.
Katanya, langkah terakhir adalah menyimpan barangan di atas siling memandangkan dia juga menjalankan perniagaan runcit secara kecil-kecilan dan mempunyai banyak barangan yang mudah rosak.
Jirannya, Zaitun Latiff, 62, berkata, dia yang tinggal di Kawasan perkampungan itu sejak 19 tahun lalu turut melihat perubahan peningkatan air berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Ada masa rumah banjir pun tidak selamat kerana paras air yang tinggi dan melimpah masuk ke dalam stor berkenaan menyebabkan saya memasang perancah besi untuk meletakkan barang tertentu di dalam rumah.
"Segelintir penduduk turut menjadikan siling rumah sebagai tempat penyimpanan barangan mereka bagi mengelak berlakunya kerosakan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Zalina Ab Halim, 48, berkata, rumahnya ditenggelami banjir buat kali pertama pada 2022 sejak dua tahun menyebabkan dia membuat persiapan awal menyimpan barang bagi mengelak kerugian yang lebih banyak.
"Persiapan awal perlu dilakukan memandangkan sekarang kita sudah memasuki fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya membawa kepada berlakunya banjir.
"Pelbagai kaedah diambil penduduk di PPSK Menerong seperti menyimpan barangan di dalam rumah banjir, membina perancah besi di dalam rumah dan terbaru menjadikan siling sebagai tempat penyimpanan barangan bagi mengelak kerosakan akibat banjir," katanya yang sudah 17 tahun tinggal di perkampungan berkenaan.