OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran saluran gas: PM hadir tinjau lokasi kejadian

SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights petang ini.

Kehadiran Anwar ke lokasi kejadian adalah bagi meninjau situasi dan mendapatkan taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian tersebut.

 Anwar tiba pada kira-kira pukul 5 petang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan, kebakaran di Puchong, Selangor, kira-kira 8.10 pagi tadi berpunca daripada kebocoran paip gas sekali gus menyebabkan kebakaran di saluran sepanjang 500 meter (m).

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, memaklumkan bahawa kebakaran kini berada dalam keadaan reda dan terkawal, berikutan tekanan gas yang semakin berkurangan. – KOSMO! ONLINE

Kebakaran paip gas: 190 rumah rosak, TPM zahid harap bantuan segera disalurkan

KUALA LUMPUR: Hari kedua sambutan perayaan Aidilfitri dikejutkan dengan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya yang mengakibatkan 190 rumah rosak setakat 3.40 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata tragedi itu turut menyebabkan 148 kereta dan 11 motosikal rosak.

"Rumah dan kenderaan terbabit dikenal pasti alami pelbagai kerosakan akibat kebakaran serta haba panas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan secara menyeluruh sedang dijalankan.

Insiden itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi berkaitan yang sedang berusaha sedaya upaya mengawal kebakaran.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu turut mendoakan keselamatan semua petugas yang bertungkus lumus dalam operasi menangani kebakaran tersebut serta kesejahteraan penduduk terjejas akibat insiden berkenaan.

"Semoga segala urusan dipermudah, segala risiko dapat dikawal dan bantuan yang diperlukan dapat segera disalurkan kepada semua yang terlibat. Kita doakan semuanya berada dalam lindungan Allah SWT, khususnya buat yang terkesan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tiba di Hospital Sultan Idris Shah pada 3.30 petang untuk melawat mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut turun padang menyantuni mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Difahamkan seramai 149 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

Insiden itu turut menyebabkan 'hujan pasir dan debu' bukan sahaja di sekitar lokasi kejadian malah menjangkau jarak beberapa kilometer dari kawasan kebakaran.

Pekerja swasta Nor Azian Jamil, 51, yang tinggal di Kampung Seri Aman, Puchong berkata walaupun rumahnya terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, dia turut merasai kesan kebakaran itu apabila halaman rumah dan kenderaan turut 'dilitupi' pasir tanah merah serta kerikil halus.

Sementara itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang berjalan seperti biasa setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pihaknya telah mengambil tindakan menyelaras semula landasan pelepasan dan pendaratan pesawat sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagi pendaratan pesawat, kita arahkan agar menggunakan Landasan 15 manakala pelepasan dari Landasan 33 dan ini bermakna penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan menghala ke utara manakala pendaratan juga dari arah utara," katanya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pula membuka semula laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra di Lebuhraya ELITE yang ditutup pagi tadi berikutan insiden itu.

Kenyataan PLUS memaklumkan laluan berkenaan dibuka pada 1.51 tengah hari.

– BERNAMA

Kebakaran Saluran Gas: Kerajaan Ambil Tanggungjawab Penuh - PM

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil tanggungjawab penuh memulihkan kawasan perumahan di Putra Heights, Subang Jaya yang terjejas dalam kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas pagi tadi. 

Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk membaiki atau menggantikan kediaman yang rosak.

Menurut beliau, proses tersebut bagaimanapun akan mengambil sedikit masa kerana ia tidak mungkin mampu dipulihkan dalam masa yang singkat. 

“Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dengan kerjasama Kerajaan Negeri. Dengan itu saya harap (mangsa dan pihak terlibat) jangan bimbang. Cuma dia mengambil masa sedikit (kerja membaiki atau menggantikan kediaman yang terjejas),” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian selepas mengadakan tinjauan di lokasi kebakaran petang tadi. 

Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan bantuan tunai segera berjumlah RM5,000 untuk setiap kediaman yang terjejas sepenuhnya manakala RM2,500 lagi diberikan untuk rumah yang musnah sebahagian. 

“Untuk langkah segera, untuk satu, dua hari ini, Petronas, dan kalau perlu Kerajaan Persekutuan, akan lihat keperluan menambah, akan menyediakan bagi rumah-rumah yang rosak sepenuhnya itu diberikan RM5,000 segera supaya mereka dapat belanja sementara. Dan yang terkesan, iaitu 100 lebih lagi (rumah) itu diberi RM2,500.

“Tapi yang lain itu, kita akan kerah seluruh jentera (meneliti) apa kemudahan tempat tinggal yang lebih baik, itu sedang direncanakan,” katanya.

Anwar memberitahu, pihak berkuasa bertanggungjawab meredakan tekanan penduduk terkesan kerana ada kediaman yang musnah sebahagian atau sepenuhnya.

Jelas beliau, mangsa dan penduduk terkesan buat masa ini ditempatkan di Pusat Perlindungan Sementara (PPS) yang didirikan dengan bantuan kerajaan negeri. 

“Rumah-rumah ini (yang terjejas), dari perbincangan kita dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Kerajaan Negeri dan PETRONAS, tidak mungkin dapat dipulihkan dalam masa yang terlalu singkat,” katanya. “Jadi sekarang ini, Petronas dengan seluruh pasukan Kerajaan sedang berbincang bagaimana kita mampu mengambil tindakan yang sementara tapi agak munasabah kerana bila ambil masa setahun, dia tak macam banjir yang kadang-kadang seminggu, dua minggu (boleh pulang ke rumah). Ini mungkin setahun atau lebih,” katanya. 

Tegasnya, keutamaan ketika ini adalah dari aspek keselamatan dan tindakan pantas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor telah membantu pihak polis, PETRONAS serta kerajaan negeri mengambil langkah segera. 

Getaran difahamkan, Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, wakil PETRONAS, PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika melakukan tinjauan itu. 

Ditanya mengenai perkembangan terkini kejadian, beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan. 

“Puncanya memerlukan sedikit masa, biar penyelidikan, siasatan yang rapi.

“Keutamaan kita sekarang adalah keselamatan. Nampak setakat ini terkawal, sebab itu saya pilih untuk pergi sendiri ke tempat itu untuk membuktikan bahawa (keadaan) selamat,” katanya. 

Perdana Menteri menarik perhatian, semua jentera kerajaan telah diarahkan untuk bermesyuarat serta-merta dan turut mengundang wakil penduduk bagi mendapatkan maklum balas. 

Katanya, tragedi yang berlaku hari ini amat berbeza dengan bencana alam lain seperti banjir, kerana ia menyebabkan kerosakan besar dan seluruh kawasan perumahan. 

“Jadi menyebabkan perancangan yang lebih teliti (diperlukan). Seperti mana saya tegaskan ia tak boleh selesai dalam beberapa bulan.

“Tapi percayalah, saya akan kerahkan seluruh jentera Kerajaan untuk mengambil tindakan yang sesegera mungkin,” katanya. - Getaran, 1 April 2025

 

 

Letupan paip gas: Raja Muda Selangor berkenan melawat kawasan kebakaran

SUBANG JAYA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke kawasan lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda pada jam 2.28 petang itu diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
Datuk Nor Hisham Mohammad.

Terdahulu, Tengku Amir Shah diberikan taklimat oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat yang juga komander operasi di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Baginda kemudian meluangkan masa menyantuni mangsa terlibat yang ditempatkan di khemah khas.

 

JPN akan ditempatkan di PPS, mudahkan urusan mangsa kebakaran hilang dokumen peribadi

KUALA LUMPUR: Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights yang menempatkan mangsa insiden kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya bagi memudahkan pengurusan dokumen peribadi mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata hal ini kerana terdapat mangsa yang dokumen peribadi mereka musnah dalam kejadian yang berlaku pagi semalam itu.

“Kita dapati ada yang keluar (menyelamatkan diri) sehelai sepinggang, tidak mempunyai dokumen seperti kad pengenalan dan sebagainya, jadi kita sedang mengatur untuk mereka (JPN) ada bersama membuka kaunter bagi mereka yang memerlukan,“ katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di PPS itu hari ini.

Berdasarkan data, sebanyak 323 mangsa daripada 84 keluarga masih berlindung di Masjid Putra Heights.
 

Noraini berkata pihaknya juga telah menggerakkan kaunselor daripada Yayasan Kebajikan Negara bagi memberi sokongan psikologi kepada mangsa khususnya mereka yang mengalami trauma.

“Bagi pihak kementerian, kami ingin mengucapkan takziah kepada mangsa dan ucapan syabas kepada semua pihak termasuk jawatankuasa masjid, agensi kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) dan semua pihak yang menghulurkan bantuan sejak semalam,“ katanya.
 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search