OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Lapan mangsa terperangkap banjir dipindahkan

KLUANG: Lapan orang berusia antara tujuh sehingga 60 tahun yang terperangkap akibat banjir di Kampung Tengah Renggam, diselamatkan pasukan bomba awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ismail Mamat, dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, semua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 pagi dan sepasukan lima anggota berserta sebuah jentera dari BBP Renggam bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi menyelamatkan mangsa turut menggunakan bot dan keadaan cuaca di lokasi gerimis manakala paras air masih meningkat.

"Mangsa diselamatkan membabitkan dua lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi ditamatkan pada 5.04 pagi.

 

 

Anggaran kerugian insiden Putra Heights diurus Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor

SUBANG JAYA: Kerajaan belum mengenal pasti nilai anggaran kerugian akibat insiden letupan paip gas bawah tanah yang menjejaskan ratusan kediaman di Putra Heights di sini, kelmarin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata prosedur mengenal pasti jumlah kerugian akan diurus dan diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.

 

"Itu (anggaran kerugian) saya belum dapat lagi. Biarlah pengumuman dibuat oleh jawatankuasa (Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri) nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Shamsul Anuar melawat lokasi kejadian sebelum menziarahi mangsa yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) Masjid Putra Height dekat sini.

Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.

Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter (m) yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan penandaan terhadap struktur rumah terjejas bagi mengenal pasti tahap keselamatannya, sebelum pasukan penyiasat memulakan tindakan lanjut.

Mengenai prosedur rakaman percakapan, Shamsul Anuar berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dikendalikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.

"Kita tidak mahu banyak sangat kenyataan yang mungkin boleh mengelirukan pelbagai pihak," katanya.

Penduduk dibenar masuk ke kediaman secara berperingkat

Subang Jaya: Pemilik kediaman terjejas akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa bermula hari ini.

Pegawai Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.

"Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.

"Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas selesai fasa pertama, kemasukan penduduk bagi fasa kedua dan ketiga akan diteruskan mengikut prosedur ditetapkan.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Aziz Jidon, 69, berkata, dia dibenarkan masuk ke rumahnya di Taman Putra Harmoni, semalam, untuk mengambil barang keperluan penting.

Katanya, hari ini pula, dia diberi peluang untuk membawa keluar kenderaan.

"Jika dibenarkan masuk, saya amat bersyukur sebab banyak barang yang saya nak tengok di rumah.

"Apa-apa keputusan saya ikut sahaja, kalau boleh masuk kita masuk… terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa, saya amat hargai," katanya.

Bagi Iqman Zikry, 24, maklumat yang diterima buat masa sekarang hanya pihak berkuasa menjalankan siasatan mengenai elektrik di rumah.

"Saya baru sampai dalam beberapa minit dan buat masa sekarang, tiada lagi makluman penting yang saya terima daripada mangsa lain.

"Kalau boleh masuk Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang memudahkan urusan mangsa," katanya.

 

Jeritan minta tolong dari bawah runtuhan

Bangkok: Pasukan penyelamat meningkatkan usaha pencarian selepas mendengar jeritan meminta tolong dari bawah runtuhan bangunan Pejabat Audit Negara di sini, pada tengah malam Rabu.

Bangunan di daerah Chatuchak itu runtuh pada 28 Mac lalu apabila gempa bumi magnitud 7.7 melanda Myanmar.

Portal The Nation melaporkan, dua penyelamat Yayasan Phetkasem, Apiwat Chanthani dan Udomchok Rodmai, melaporkan bahawa mereka mendengar jeritan dalam bahasa Thailand di kawasan yang ditetapkan sebagai Zon B.

Operasi menyelamat di kawasan runtuhan itu dibahagikan kepada zon untuk menyelaraskan usaha pencarian.

Selepas mendengar jeritan meminta tolong, penyelamat menggunakan kren untuk mengangkat kepingan konkrit, namun menemukan kepingan tambahan di bawahnya.

Ia menghalang apa disyaki sebagai ruangan di mana mangsa terbabit mungkin berada.

Anggota penyelamat kemudian menggunakan mesin pemotong untuk memotong palang besi secara beransur-ansur pada kepingan konkrit berkenaan.

Apiwat menyatakan mereka menemukan beberapa kepingan konkrit yang menghalang akses untuk mencapai ruangan dipercayai berhampiran tangga kecemasan

Usaha mengalihkan serpihan di tapak itu diteruskan sepanjang malam, dengan pasukan penyelamat bergilir-gilir menjalankan operasi.

Pada 6.40 pagi Khamis, pasukan penyelamat menemukan sebuah lubang dan turun ke dalamnya, namun tiada mangsa ditemukan.

Sehingga pagi Khamis, jumlah kematian yang disahkan adalah 29, dengan sembilan lain cedera dan 59 lagi masih hilang.

 

'Masih terlalu awal memikirkan tindakan undang-undang' - Persatuan Penduduk Putra Harmoni

Subang Jaya: "Masih terlalu awal (memikirkan) tindakan undang-undang, apa yang penting isu kebajikan (penduduk) terlebih dahulu," menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh.

Francis memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai kebakaran saluran paip gas yang menjejaskan 115 kediaman di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini.

Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas kini memberi fokus kepada pemeriksaan keselamatan di kediaman masing-masing.

"Kita serahkan siasatan terlebih dahulu dan uruskan kemasukan penduduk secara berfasa bagi tujuan pemeriksaan keselamatan," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni, yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, berkata pihaknya meminta agensi berkaitan membawa persatuan penduduk dalam setiap mesyuarat yang diadakan.

"Kami perlukan maklumat untuk disampaikan kepada penduduk. Mereka kini kurang informasi dan disebabkan itu mereka terganggu serta risau.

"Saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami mempunyai semua data penduduk, termasuk haiwan peliharaan mereka," katanya.

Lau menjelaskan penduduk berhak mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai perkembangan semasa susulan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta kegelisahan penduduk.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengajak wakil penduduk dalam setiap perbincangan dan mesyuarat yang diadakan.

"Penduduk memerlukan maklumat jelas mengenai langkah keselamatan dan proses pemulihan kerana mereka masih risau dengan keadaan semasa.

"Setakat ini, koordinasi lebih pantas, tetapi kami berharap ada komunikasi lebih baik antara pihak berkuasa dan penduduk. Kami juga bersedia membantu mana-mana penduduk yang menghadapi sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed, dilaporkan berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula jam 9.30 pagi bagi tujuan pemeriksaan keselamatan, khususnya membabitkan pendawaian elektrik.

"Jika pendawaian berada dalam keadaan baik, bekalan elektrik akan disambungkan semula.

"Penduduk juga akan menjalani pemeriksaan inventori sebelum dibenarkan menetap kembali di kediaman mereka," katanya.

Pada 1 April lalu, Harian Metro melaporkan kebakaran paip gas itu diibaratkan seolah-olah letusan gunung berapi sehingga bahangnya masih terasa sehingga 600 meter.

Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Masjid Putra Heights serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search