Lebih 100,000 anggota dan aset pelbagai agensi bantu mangsa
- Admin UKK
- Berita
Lebih 100,000 anggota dan aset daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.
Agensi lain terbabit Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata pasukan agensi berkenaan juga memantau dengan rapi setiap hari bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin sepanjang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, beliau meninjau kesiapsiagaan pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara di Pusat Kawalan Bencana Negara Pulau Meranti, Puchong untuk mendengar taklimat pengurusan bencana, semalam.
“Saya dimaklumkan 11,009 mangsa daripada 3,839 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 14 daerah di tujuh negeri.
“Mobilisasi lebih 100,000 anggota membabitkan pelbagai agensi sudah digerakkan ke lokasi operasi bagi memastikan kesiapsiagaan bantuan serta menyelamat,” menurutnya dalam hantaran di media sosial rasmi.
Memetik laporan BERNAMA, Shamsul Azri juga meminta semua anggota pasukan terbabit agar memberi keutamaan kepada pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya di kawasan terjejas agar mereka dapat meneruskan peperiksaan dalam keadaan baik dan selamat.
Dalam laporan terkini, lapan negeri terjejas banjir iaitu Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kedah, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Sabah jumlah mangsa setakat jam 8 pagi semalam meningkat kepada 10,922 orang dengan Kelantan merekodkan bilangan paling tinggi yang ditempatkan di 33 PPS.
Musim MTL bermula pada 13 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac 2026.
TNB henti bekalan.
Di Kuala Lumpur, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menghentikan bekalan elektrik di beberapa kawasan terjejas banjir bagi tujuan keselamatan.
Dalam kenyataan dikongsi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kawasan terbabit di Kelantan ialah asrama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Taman Bendahara di Kota Bharu serta Wakaf Aik di Bachok.
“Di Perak, bekalan turut dihentikan di Taman Wira Damai dan Taman Mas, Manjung. “Bagaimanapun, belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) terjejas bekalan elektrik.
“Bagi memastikan kesinambungan bekalan di kawasan kritikal, TNB menyediakan genset di lokasi strategik dan memulihkan bekalan melalui genset di pencawang yang selamat untuk dioperasikan,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan tiada fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir.
Bagi memastikan perkhidmatan perubatan berjalan lancar, KKM menggerakkan 31 pasukan perubatan kecemasan (EMT) ke PPS yang beroperasi.
“Pasukan itu merangkumi 20 Rapid Response Team (RRT) Kesihatan dan 11 RRT Perubatan yang i menyediakan rawatan perubatan kepada mangsa dan melaksanakan langkah pencegahan penyakit di PPS,” katanya.
