OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 6 negeri

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka melanda enam negeri sehingga lusa, 12 Januari ini.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat termasuk seluruh negeri Melaka dan Johor, manakala di Terengganu, daerah yang terkesan adalah Hulu Terengganu, Marang, Dungun serta Kemaman.

Pahang turut menerima amaran serupa di Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, manakala di Negeri Sembilan pula melibatkan Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

Sarawak juga tidak terkecuali, dengan amaran hujan berterusan dikeluarkan di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu.

Pihak berkuasa turut mengingatkan orang awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga, terutama di kawasan yang dijangka terkesan oleh hujan lebat. – KOSMO! ONLINE

Tindakan segera perlu diambil terhadap jalan rosak, berisiko

BEAUFORT: Pejabat Wakil Rakyat (PWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beaufort dan syarikat konsesi telah melakukan tinjauan ke beberapa lokasi membabitkan jalan raya dan kemudahan awam di Lumadan yang bermasalah.

Turut menyertai tinjauan ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort di Zon Gadong dan Zon Weston melibatkan jalan raya di bawah JKR dan pihak syarikat konsesi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, terdapat beberapa jalan raya berisiko yang memerlukan perhatian segera JKR dan syarikat konsesi untuk pembaikan atau naiktaraf.

Antara masalah itu katanya, jalan rosak dan tidak selamat hingga berisiko kemalangan, jalan raya sempit, ketiadaan garisan jalan, keperluan pemasangan kalbut di beberapa lokasi serta banyak lagi.

"Selain menerima aduan daripada rakyat di DUN Lumadan, tinjauan ini juga selari dengan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahu isu jalan raya rosak dan tidak selamat di Sabah, diselesaikan segera.

"Kita telah kenal pasti beberapa lokasi bermasalah antaranya lebar jalan di bawah JKR yang tidak memenuhi spesifikasi, jalan rosak dan jalan berisiko kemalangan serta keperluan penghadang banjir.

"Sebagai contoh, salah satu laluan utama di Kampung Suasa ini sering terputus akibat banjir kerana berdekatan Sungai Padas menyebabkan satu tembok penghadang banjir perlu dibuat segera.

"Termasuk beberapa jalan raya yang perlu dinaiktaraf segera oleh JKR dan pihak konsesi kerana rosak teruk hingga berisiko menyebabkan kemalangan serta kerosakan kenderaan penduduk," katanya.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, terdapat beberapa isu yang sudah disenarai untuk pelaksanaan JKR tahun ini namun pada masa sama, masih banyak keperluan yang tidak tersenarai.

Sehubungan itu, beliau telah meminta JKR Daerah Beaufort membuat satu laporan mengenai keperluan memasukkan projek-projek terlibat dalam senarai pelaksanaan untuk tahun ini.

"Saya sendiri akan bawa surat permohonan dan laporan JKR Daerah Beaufort ini kepada Ketua Menteri (Hajiji) untuk diambil perhatian sejajar dengan komitmen kerajaan negeri.

"Keselesaan dan keselamatan rakyat harus diutamakan khususnya kepentingan mereka semasa berada di jalan raya yang perlu dipastikan memenuhi standard ditetapkan," katanya.

BBC Kelantan fokus baik pulih rumah mangsa banjir

TUMPAT: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan akan menyelesaikan segera proses membaik pulih tiga rumah mangsa banjir di dua kampung di sini melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM100,000.

Keputusan itu dicapai hasil mesyuarat khas BBC dan lebih 20 ADUN BBC turun ke lokasi kediaman yang rosak akibat banjir Disember lalu iaitu di Jubakar Pantai dan Kampung Dalam Rhu, semalam.

Pengerusi Kelab BBC, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, usaha baik pulih ini diambil segera setelah mengambil kira cadangan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan supaya membaiki rumah berkenaan  pada kadar segera sebelum Ramadan akan datang.

Menurutnya, anggaran kos bagi membaik pulih tiga rumah tersebut adalah sekitar RM100,000 iaitu dua rumah yang akan dibaiki adalah di Kampung Jubakar Pantai dan sebuah lagi di Kampung Dalam Rhu.

“Tiga buah rumah ini adalah antara 16 rumah yang rosak teruk akibat banjir baru-baru ini,” ujarnya ketika ditemui sewaktu meninjau rumah-rumah yang akan dibaiki.

Beliau berkata, tiga rumah terpilih ini merupakan usaha pertama pihaknya untuk membantu mangsa terlibat dan selepas ini perbincangan lanjut akan dibuat untuk membantu rumah mangsa banjir yang lain pula.

“Dana untuk projek ini akan dikeluarkan oleh ADUN BBC sendiri, dan mereka akan mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak mengikut keperluan masing-masing.

“Sebanyak 30 ADUN di bawah BBC Kelantan terlibat dalam usaha membaik pulih ini, dengan pembahagian kepada tiga kumpulan kerja,” katanya lagi.

Menurut ADUN Pasir Tumboh itu lagi, kumpulan pertama yang akan membaik pulih rumah di Kampung Dalam Rhu diketuai oleh Penasihat BBC Datuk Abdul Fattah Mahymood  bersama lapan orang di bawahnya.

Katanya, kumpulan kedua di Kampung Jubakar Pantai pula diketuai oleh beliau sendiri dan akan dibantu ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud ADUN Semerak, Norsham Sulaiman dan beberapa ADUN lagi.

Kumpulan ketiga diketuai oleh ADUN Pulai Chondong, Azhar Salleh, bersama beberapa ADUN lain.

“Kita akan selesaikan urusan baik pulih ini secepat mungkin dengan kerjasama semua pihak, demi memastikan mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing sebelum Ramadan,” kata Datuk Abdul Rahman lagi.

Menurutnya, usaha ini dibuat bagi membuktikan komitmen BBC Kelantan dalam membantu mangsa banjir secara dengan harapan semua kediaman yang terjejas dapat dipulihkan segera.

Turut hadir pada sesi lawatan ke lokasi rumah mangsa, Setiausaha BBC, Zuraidin Abdullah. – HARAKAHDAILY 9/1/2025

Penyelidik UTeM cipta sistem pemantauan banjir di Melaka

KUALA LUMPUR- Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menjalankan projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir Internet of Things di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM menerusi Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan sekumpulan penyelidik telah menjayakan projek rintis ini yang memberi impak besar kepada negeri Melaka.

Jelasnya, dengan kejayaan pemasangan Sistem Pemantaun Banjir IoT ini jelas membuktikan kesungguhan dan komitmen UTeM mencurahkan kepakaran yang dimiliki untuk manfaat dan kesejahteraan penduduk negeri ini.

Katanya, sistem pemantauan ini memberikan amaran awal banjir yang akan memberi notifikasi kepada penduduk dan agensi penguatkuasaan melalui aplikasi mudah alih serta media sosial pada masa nyata.

“Secara asasnya projek ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama UTeM yang mana projek ini diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) dengan kerjasama agensi tempatan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Projek ini adalah sebahagian daripada pelan strategik negeri Melaka untuk menangani impak banjir kilat yang sering berlaku akibat perubahan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu.

“Sistem ini dirancang pembangunannya sebagai mekanisme kawalan untuk mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan memudahkan usaha menyelamat di kawasan yang terjejas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Projek pembangunan dan pemasangan Sistem Pemantauan Banjir IoT ini diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK), Mazran Esro bersama 5 orang penyelidik lain iaitu Profesor Madya Eur Ing Dr. Siva Kumar Subramaniam, Ir Ts Dr Siti Aisyah Anas, Dr Ahamed Fayeez Tuani Ibrahim, Vigneswara Rao Gannapathy dan Ts Dr Yogan Jaya Kumar.

Mengupas tentang ciri-ciri sistem ini, Mazran berkata, sistem ini memantau kenaikan paras air sungai, kejadian hujan, jumlah air hujan, suhu dan kelembapan di lokasi yang dipantau.

“Sekiranya hujan dalam jumlah yang banyak dan paras air naik dengan cepat, sistem akan memaparkan kategori sama ada kategori hijau (paras normal), kuning (paras waspada), jingga (paras amaran) dan merah (paras bahaya).

“Penduduk setempat boleh mendapat manfaat dari sistem ini dengan akses mudah melalui kod QR selepas ini setelah selesai peringkat pengujian akhir yang dalam proses pemantauan kami bagi memastikan kestabilan dan keberkesanan sebelum dibuka kepada orang awam,” ujarnya.

Berkongsi tentang proses pembangunan sistem ini katanya, kami telah melakukan proses penyelidikan dan pembangunan sistem ini melalui beberapa siri geran dan teknologi yang mana dana diterima dari UTeM dan produk ini berkembang selaras dengan perubahan teknologi terkini.

“Untuk produk Sistem Pemantau Banjir IoT ini, peruntukan yang diberikan oleh UPEN adalah untuk proses fabrikasi, pemasangan dan pengujian sistem dalam tempoh masa hanya 1 bulan iaitu dari 15 November hingga 14 Disember lalu sejurus mendapat peruntukan dari UPEN.

“Pada masa yang sama kami turut berdepan dengan cabaran bilamana teknologi semakin berkembang maka sistem yang dibangunkan perlu ditingkatkan seiringan dengan teknologi terbaru.

“Ini adalah kerana komponen perkakasan teknologi lama yang diperlukan dalam sistem tidak lagi wujud dalam pasaran justeru penyelidik perlu sentiasa menambah baik sistem dengan perkakasan dan perisian terkini.

“Namun pada kami ini semua adalah lumrah dan cabaran biasa buat kumpulan penyelidikan kerana pada kami tugasan dan amanah ini mesti disempurnakan dengan jayanya demi kemaslahatan komuniti sejagat,” katanya.

Projek perintis ini kini berada dalam tempoh pemantauan keberkesanan sistem sebelum dicadang sebarang penambahan di lokasi lain yang berisiko banjir sekitar negeri Melaka.- MalaysiaGazette

 

UUM, Yayasan Pekema bantu mangsa banjir

SINTOK – Banjir besar yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, telah mengakibatkan kerugian besar termasuk kemusnahan harta benda pastinya cabaran untuk memulakan semula kehidupan selepas bencana ini ujian yang sangat berat buat mereka.

Prihatin terhadap nasib yang menimpa, Yayasan Pekema dengan kerjasama anak syarikat Pekema, Central Auto Distributors Bhd (CADB), dan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (UUM) tampil membantu 45 komuniti sekitar Changlun.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, inisiatif ini  menjadi simbol yang menunjukkan semua mampu bersatu hati dalam membantu mereka yang memerlukan

Menurutnya, UUM dan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sentiasa berusaha untuk memainkan peranan terbaik dalam membantu komuniti yang memerlukan, khususnya warga universiti yang terkesan oleh bencana ini.

“Komitmen bersama ini merupakan platform penting untuk kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir, malah mencerminkan nilai-nilai murni seperti semangat kesukarelawanan, kasih sayang, dan kepedulian sesama insan dalam memupuk keutuhan masyarakat serta memacu kesejahteraan bersama,” tambahnya.

Beliau juga menyeru agar usaha seperti ini diteruskan sebagai budaya dalam masyarakat, kerana kepedulian sosial bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga mencerminkan nilai kemanusiaan yang harus dijunjung tinggi.

Sementara itu, Pengurus Besar Central Auto Distributors Bhd (CADB), Wan Ahmad Fadzli Wan Mustafa, melahirkan rasa berbesar hati dengan sambutan yang diberikan melalui kerjasama yang terjalin.

“Kolaborasi adalah kunci kepada keberhasilan. Melalui sinergi antara UUM, Pekema, dan CADB, usaha bersama ini dapat memberi impak yang lebih besar,” katanya.

Beliau berharap inisiatif ini adalah permulaan kepada lebih banyak program yang dirancang dan menyatakan komitmen untuk lebih kerap bekerjasama dengan UUM di masa hadapan. – MalaysiaGazette

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search