OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tindakan segera perlu diambil terhadap jalan rosak, berisiko

Tindakan segera perlu diambil terhadap jalan rosak, berisiko

BEAUFORT: Pejabat Wakil Rakyat (PWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Beaufort dan syarikat konsesi telah melakukan tinjauan ke beberapa lokasi membabitkan jalan raya dan kemudahan awam di Lumadan yang bermasalah.

Turut menyertai tinjauan ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort di Zon Gadong dan Zon Weston melibatkan jalan raya di bawah JKR dan pihak syarikat konsesi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, terdapat beberapa jalan raya berisiko yang memerlukan perhatian segera JKR dan syarikat konsesi untuk pembaikan atau naiktaraf.

Antara masalah itu katanya, jalan rosak dan tidak selamat hingga berisiko kemalangan, jalan raya sempit, ketiadaan garisan jalan, keperluan pemasangan kalbut di beberapa lokasi serta banyak lagi.

"Selain menerima aduan daripada rakyat di DUN Lumadan, tinjauan ini juga selari dengan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahu isu jalan raya rosak dan tidak selamat di Sabah, diselesaikan segera.

"Kita telah kenal pasti beberapa lokasi bermasalah antaranya lebar jalan di bawah JKR yang tidak memenuhi spesifikasi, jalan rosak dan jalan berisiko kemalangan serta keperluan penghadang banjir.

"Sebagai contoh, salah satu laluan utama di Kampung Suasa ini sering terputus akibat banjir kerana berdekatan Sungai Padas menyebabkan satu tembok penghadang banjir perlu dibuat segera.

"Termasuk beberapa jalan raya yang perlu dinaiktaraf segera oleh JKR dan pihak konsesi kerana rosak teruk hingga berisiko menyebabkan kemalangan serta kerosakan kenderaan penduduk," katanya.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, terdapat beberapa isu yang sudah disenarai untuk pelaksanaan JKR tahun ini namun pada masa sama, masih banyak keperluan yang tidak tersenarai.

Sehubungan itu, beliau telah meminta JKR Daerah Beaufort membuat satu laporan mengenai keperluan memasukkan projek-projek terlibat dalam senarai pelaksanaan untuk tahun ini.

"Saya sendiri akan bawa surat permohonan dan laporan JKR Daerah Beaufort ini kepada Ketua Menteri (Hajiji) untuk diambil perhatian sejajar dengan komitmen kerajaan negeri.

"Keselesaan dan keselamatan rakyat harus diutamakan khususnya kepentingan mereka semasa berada di jalan raya yang perlu dipastikan memenuhi standard ditetapkan," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search