KUALA TERENGGANU: Cuti bencana yang diberikan kepada guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Chukai, Kemaman, susulan sekolah itu dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dibatalkan Ahad ini.
Berikutan itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Terenggau (JPNT), Jelani Sulong berkata, sesi persekolahan dan pembelajaran berjalan seperti biasa Ahad ini selepas PPS di sekolah itu ditutup petang semalam.
Katanya, guru dan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam di sekolah itu sebelum ini diberi cuti bencana selepas sebahagian daripada bilik darjah digunakan sebagai tempat berlindung kira-kira 383 mangsa banjir.
“PPS di SK Kemasik ditutup secara rasmi semalam dan kerja pembersihan bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir mula dilakukan pagi ini.
“Kerja pembersihan dan penyusunan kerusi serta meja di bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung 383 mangsa bencana banjir akan siap sepenuhnya esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelani berkata, pengurusan sekolah tidak menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja pembersihan kerana bilik darjah yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir tidak ditenggelami air atau lumpur.
“Kerja pembersihan dan penyusunan kerusi serta meja dalam kelas yang dijadikan tempat berlindung mangsa banjir turut dibantu ibu bapa, guru serta murid yang tinggal berhampiran sekolah,” katanya.
Kota Bharu: Paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih ditahap berjaga-jaga namun menunjukkan trend meningkat kepada 7.66 meter setakat 9 malam ini berbanding 7.38 meter tengah hari tadi.
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan kedudukan itu melebihi paras berjaga-jaga 7.0 meter.
Selain itu, Sungai Kelantan di Kampung Sokor Tanah Merah telah kembali kepada paras normal berbanding sebelum ini di paras berjaga-jaga.
Semua sungai utama lain dicatatkan berada pada paras normal.
Kota Bharu: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan hampir 20 kampung yang berada di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer dari Sungai Golok yang bersempadan Malaysia-Thailand dijangka mengalami banjir bermula hari ini hingga Ahad.
PRABN dalam kenyataan semalam memaklumkan amaran itu dikeluarkan jam 3.30 petang kelmarin susulan hujan berterusan selain status aras air sungai diramalkan naik melebihi paras bahaya.
“Antara kampung (Kg) yang terbabit adalah Kg
Kubang Rambutan, Kg Kubang Tok Deh, Kg Tersang, Kg Baroh Pial, Kg Kubang Pak Hitam, Kg Siput, Kg Kedai Lama dan Kg Lubok Gong.
“Selain itu, Kg Kok Pauh, Kg Tok Rusa, Kg Banggol Sepuleh, Kg Kalor, Kg Lanchang, Kg Gual Nibung, Kg Banggol, Kg Padang Licin, Kg Serongga, Kg Tok Derpah dan Kg Gual Periok
Dijangka alami banjir bermula hari ni hingga Ahad juga dijangka mengalami keadaan sama,” kata PRABN.
Banjir yang diramalkan itu boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan berlaku di kawasan berkenaan, mengikut kenyataan itu.
Amaran PRABN dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau pengurusan bencana banjir. – Bernama
Chukai: Seramai 2,102 penghuni Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kelmarin memilih untuk tidak pulang ke rumah walaupun banjir di kawasan berkenaan surut sepenuhnya pagi semalam.
Mereka mengambil keputusan tinggal di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air semula berikutan keadaan cuaca tidak menentu.
Penduduk, Mohd Afikfi Mohd Khalipani, 32, berkata, dia dan isteri, Normawati Abdullah, 29, serta tiga anaknya memilih tinggal di PPS kerana bimbang air akan naik semula.
Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sesekali lebat masih lagi berterusan menyebabkan dia memilih jalan selamat untuk tinggal di pusat berkenaan walaupun air di kawasan rumahnya sudah surut sepenuhnya.
“Kami hanya pulang membersihkan rumah dan barangan serta perkakas rumah yang diselaputi lumpur sebelum kembali semula ke pusat pemindahan pada waktu malam.
“Kami keluar rumah pada tengah malam tadi (semalam) berikutan air naik mendadak sehingga paras paha orang dewasa,” katanya.
Katanya, berikutan air naik secara mendadak, dia hanya sempat mengambil dokumen penting dan beberapa helai pakaian sahaja manakala barangan dan perkakas rumah ditenggelami banjir.
Menurutnya, ada penduduk sudah tidur ketika air naik kerana tidak menyangka banjir berlaku di kawasan berkenaan.
Suri rumah, Tuan Rafidah Tuan Arifin, 40, berkata, dia dan suami, Mohd Firdaus Abdullah, 45, serta tiga anak juga memilih untuk bermalam di PPS kerana bimbang kawasan berkenaan dinaiki air ekoran cuaca yang tidak menentu.
82 PPS sedia diaktifkan
- Admin UKK
- Berita
Polis menjangkakan sehingga 15,000 penduduk di sekitar Chukai di sini, berisiko menjadi mangsa banjir sekiranya hujan lebat berterusan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin bagaimanapun berkata, sebanyak 82 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kemaman sedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sahaja dan mampu menampung sehingga 40,000 mangsa.
“Jumlah mangsa itu adalah mungkin apabila berlakunya pertembungan antara hujan lebat dan kenaikan air pasang. Kalau ikut ramalan hujan lebat berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kita jangkakan akan banjir lagi di Chukai, kalau taburan hujan tinggi seperti kelmarin. “Tapi dengan bilangan PPS yang kita ada, saya kira tiada masalah. Insya-Allah terkawal, tetapi yang penting mereka kena pindah ke PPSlah,” katanya sewaktu melawat kawasan perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong yang terjejas banjir di sini, semalam.
Pada masa sama, Mohd Khairi berkata, situasi banjir di negeri itu masih terkawal dengan hanya dua daerah yang masih terjejas iaitu Kemaman dan Marang sehingga petang semalam.
Mengikut data oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, seramai 2,545 mangsa daripada 637 keluarga kini menghuni di enam PPS dengan Kemaman mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,532 mangsa manakala
Marang berbaki hanya 13 mangsa.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan kematian seorang warga emas dikenali sebagai Chik Mamat, 76, yang ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan lopak air dalam ladang sawit di Jerangau Barat,
Ajil, Kuala Berang pagi semalam, bukan berkait dengan bencana banjir.
“Kita klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), kematian biasa. Ia berlaku bukan di kawasan banjir, bukan mangsa banjir,” katanya sambil menasihati individu dewasa terutama warga emas untuk mengelakkan sebarang aktiviti berisiko sepanjang MTL ini.