JAKIM Sarawak komited bantu mangsa banjir
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 17 Mac: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu mangsa banjir, terutama sepanjang bulan Ramadan ini.
Melalui inisiatif Musa’adah JAKIM, bantuan segera telah disalurkan ke kawasan yang terjejas di seluruh negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha pantas ini mencerminkan keprihatinan JAKIM dalam membantu golongan memerlukan.
“JAKIM bukan sahaja menyalurkan bantuan di Sarawak dan Sabah, tetapi juga di seluruh Malaysia dengan cepat dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan dan Musa’adah Banjir Masjid dan Surau Bahagian Miri di Masjid Al-Muttaqin, Bekenu, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan membaca dan memahami Al-Quran serta menggalakkan amalan sedekah dan kebajikan, seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW.
“Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi bulan transformasi diri. Rasulullah SAW menggandakan amal kebajikan seperti angin yang bertiup kencang. Marilah kita bersama meningkatkan ibadah dan kebajikan, bukan sahaja kepada Allah tetapi juga kepada sesama manusia,” katanya lagi.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Musa’adah JAKIM, sebanyak dua sekolah, lapan surau serta masjid di Bintulu, dan 14 masjid serta surau di Miri menerima sumbangan berjumlah RM66,000. -TVS