OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

JPS keluar amaran banjir di Hulu Perak, Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR – Kira-kira lapan kampung yang terletak dalam lingkungan lima kilometer radius Sungai Perak, Sungai Kenderong, Sungai Kenering, Sungai Rui dan Sungai Air Tawar di Hulu Perak dijangka dilanda banjir mulai hari ini hingga 13 Disember 2024.

Amaran itu dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) susulan amaran hujan berterusan di peringkat berjaga-jaga oleh Jabatan Meteorologi semalam.

Kampung yang berisiko banjir di Hulu Perak ialah Kampung Sumpitan, Kampung Beng, Kampung Bendang Kerajaan (Pekan Gerik) dan Kampung Kerunai.

Selain itu, Kampung Padang, Kampung Malau, Kampung Pahat dan Kampung Lawin. Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kampung Veerasamy di Sungai Siput di Kuala Kangsar.

Katanya, banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan. Oleh itu, amaran dikeluarkan bagi memastikan semua penduduk yang berada di kawasan yang dijangka banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana. – MalaysiaGazette

 

Banjir: Jumlah mangsa kembali meningkat susulan amaran hujan lebat berterusan

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir kembali menunjukkan peningkatan setakat 6 pagi Selasa susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Rabu ini.
Dua negeri di pantai timur kembali membuka semula pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan Terengganu dan Pahang.
 
Kemas kini di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan 1,093 mangsa daripada 326 keluarga kini ditempatkan di 27 PPS, di tujuh negeri.
 
Terengganu kembali mencatatkan peningkatan jumlah mangsa dengan 467 orang yang ditempatkan di 11 PPS. Manakala di Pahang, 4 PPS dibukan untuk menempatkan 45 mangsa daripada 13 keluarga.
 
Negeri-negeri selatan tanah air turut menunjukkan peningkatan sedikit dengan Johor mencatakan 166 mangsa manakala Melaka kekal 11 orang di satu PPS yang masih dibuka.
Perak pula merekodkan 112 mangsa daripada 36 keluarga di 3 PPS. Sementara di Negeri Sembilan, 251 mangsa kini ditempatkan di 3 PPS. Di Sabah, 41 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan di satu PPS.

PBT diminta bantu NADMA kumpul maklumat kerugian premis

Kota Bharu: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengumpul maklumat kerugian dialami premis bangunan atau kediaman akibat banjir.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata setakat ini kementerian itu belum memperoleh statistik kerugian dan masih mengumpul maklumat berkaitan.

“PBT telah diarahkan melihat ruang (bentuk) yang boleh kita bantu melalui KPKT dan kita turut berikan perhatian terhadap mangsa banjir.

“Pasukan kita telah bersiap sedia lebih awal, kesan masuk air ke premis atau kediaman adalah perkara biasa cuma apa-apa kerosakan itu perlu ada rekod yang sahih untuk dinilai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Lawatan Turun Padang Operasi Monsun Timur Laut Kelantan, di sini semalam.

Sementara itu, Aiman Athirah turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada termasuk di Kuala Krai yang dijangka mengalami banjir bermula esok hingga Jumaat ini.

“Orang ramai perlu peka keadaan cuaca semasa dan berpindah lebih awal jika perlu,” katanya. BERNAMA

KPM pertingkat kesiapsiagaan berdepan banjir gelombang kedua

Butterworth: Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi berdepan kemungkinan banjir gelombang kedua, khususnya bagi calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Op Payung.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kementerian sedang membuat segala persiapan bagi menghadapi kemungkinan itu.

“Setakat hari ini saya berpuas hati dengan semua persiapan yang sudah kita laksanakan. Jadi minggu depan, kita ada ujian Amali Sains dan juga diikuti oleh ujian bertutur Bahasa Inggeris.

“Jadi persiapan dalam keadaan sangat baik, Op Payung pun sudah diaktifkan untuk sebarang kejadian atau bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai acara larian Khazanah Reformasi Walk di Seberang Jaya di sini, semalam.

Katanya, KPM berjaya menangani banjir gelombang pertama secara tersusun. “Kita juga sudah memperoleh maklumat bilangan sekolah yang terbabit banjir dan kita sedang mengenal pasti kerugian akibat kerosakan,” katanya.

KPM sudah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung bagi menghadapi Ujian Amali Sains SPM yang dijadualkan berlangsung esok, 10 dan 12 Disember ini.

Langkah itu penting bagi memastikan ujian berkenaan dapat berjalan lancar dan tiada calon terjejas. Mengenai kerosakan sekolah akibat banjir, Fahdlina berkata, maklumat berkaitan gelombang pertama sudah diterima.

“Gelombang pertama kita sudah ada bilangannya, cuma sedang dikenal pasti dari segi unjuran kos (kerosakan) yang terbabit. “Pada masa sama, kita juga membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan lain (banjir gelombang kedua),” katanya.

Tak tangguh peperiksaan

DI Alor Setar, Fadhlina berkata, keputusan tidak menangguhkan SPM dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terbabit dalam menghadapi banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac tahun depan.

Katanya, ia termasuk persediaan menjaga kebajikan calon SPM agar mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selamat.

Katanya, pada peringkat kementerian, Op Payung akan terus diaktifkan bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan juga bencana banjir.

“Persiapan kita ini bukan sahaja soal keselamatan, kebajikan, tetapi secara keseluruhan, termasuk peperiksaan SPM itu. Jadi kita sudah maknanya bersedia melaksanakannya daripada hari pertama peperiksaan tempoh hari.

“Ujian itu akan terus kita pastikan dan pantau dengan ketat untuk memastikan semua anak kita dapat menghadapi peperiksaan dengan selamat dan juga Op Payung ini bersedia setiap masa.

“Kita juga membuat persiapan sekiranya gelombang kedua… gelombang ketiga yang sebagaimana dipersiapkan minda dan emosi kita oleh pihak Metmalaysia untuk berhadapan dengan gelombang-gelombang

selanjutnya,” jelas beliau. Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, berkata agensi berkaitan sudah memulakan kerja penilaian kerosakan infrastruktur awam akibat banjir di setiap negeri.

Katanya, ia bagi memudahkan kementerian untuk menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan terbabit.

Hujan berterusan sehingga 16 Disember

Luruan monsun yang sedang berlaku ketika ini dijangka berterusan sehingga 16 Disember ini berdasarkan analisis model cuaca terkini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung serta Sabah sepanjang tempoh berkenaan.

“MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) membabitkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa sehingga 11 Disember ini.

“Manakala, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga 12 Disember ini. “Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi Met Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapat maklumat terkini dan sahih,” katanya. Terdahulu, Harian Metro melaporkan hujan lebat berterusan peringkat jingga dijangka berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang sehingga

Kawasan terbabit di timur dan utara Semenanjung serta Sabah esok.

MetMalaysia turut memaklumkan hujan berterusan peringkat kuning di Perlis, Kelantan serta beberapa daerah di Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.

Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan luruan angin sejuk atau luruan monsun yang berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir dijangka melanda negara mulai kelmarin semalam hingga 14 Disember ini.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search