OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tersepit antara kemajuan dan bencana

Tersepit antara kemajuan dan bencana

BUKAN sahaja dikenali sebagai pusat ekonomi dan nadi kehidupan negara, sebaliknya kawasan Lembah Klang kini seolah-olah sinonim dengan kejadian banjir kilat yang tiada kesudahan.

Setiap kali langit mula mendung dan hujan lebat, keresahan mula menyelubungi penduduk yang sering berdepan kemungkinan banjir kilat melanda.

Fenomena ini bukan lagi kejadian luar biasa, sebaliknya menjadi harga yang terpaksa dibayar untuk tinggal di kota yang pesat membangun ini.

Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar kesan hujan lebat semata-mata, tetapi berpunca daripada kesan perubahan iklim, pembangunan tidak terkawal dan kelemahan sistem saliran bandar.

 

Tanpa langkah penyelesaian bersepadu, Lembah Klang akan terus terperangkap dalam kitaran bencana berulang.

Ini bukan sahaja menjejaskan harta benda, malah menggugat kesejahteraan ekonomi, kestabilan sosial dan kelestarian alam sekitar.Hal ini sekali gus meletakkan seluruh kawasan Lembah Klang dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali berdepan ancaman cuaca ekstrem.

Data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan peningkatan ketara dalam kejadian hujan lebat luar biasa sejak lima tahun kebelakangan ini.

Corak cuaca kini lebih sukar diramal dengan taburan hujan intensif berlaku dalam masa singkat melebihi keupayaan saliran bandar mengalirkan air keluar dengan cepat.

Di kebanyakan kawasan seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Klang, sistem perparitan sedia ada dibina berdasarkan andaian taburan hujan purata beberapa dekad lalu. Tanpa penaiktarafan menyeluruh, sistem ini tidak mampu menampung volum air luar biasa yang kini menjadi norma baharu.

Tebatan Banjir (RTB) seperti projek Sungai Klang dan Sungai Rasau pula masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pakar perancang bandar juga sering menyuarakan kebimbangan mengenai pembangunan pesat di Lembah Klang terutama di tanah rendah dan kawasan tadahan hujan mempercepatkan kesan limpahan air.

Penurapan permukaan tanah secara besar-besaran mengurangkan kadar resapan semula jadi menjadikan air hujan terus mengalir ke sistem perparitan dalam masa singkat.

Isu banjir di Lembah Klang tidak boleh dilihat sebagai masalah satu pihak semata-mata kerana ia melibatkan penyelarasan pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), syarikat konsesi dan pemaju hartanah.

Kelewatan melaksanakan projek mitigasi, kegagalan penyelenggaraan berkala dan kelulusan projek di kawasan berisiko banjir memburukkan lagi keadaan.

Selain peranan kerajaan, masyarakat juga perlu lebih peka kerana masih terdapat sampah dibuang ke dalam sungai dan longkang yang menjadi punca saluran tersumbat dan mempercepatkan berlakunya banjir kilat.

Sampah tersumbat di longkang dan sungai bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah mengundang musibah yang akhirnya menyusahkan semua orang. Kalau perkara sekecil buang sampah pun kita ambil mudah, jangan hairan kalau banjir kilat terus jadi cerita biasa setiap kali hujan lebat.

Tanpa tindakan agresif memperkukuh infrastruktur saliran, mengawal pembangunan dan menyesuaikan dasar dengan realiti iklim baharu, Lembah Klang akan terus terdedah kepada risiko banjir yang lebih buruk.

Masa depan Lembah Klang masih boleh diselamatkan dan kita berpeluang untuk membina sebuah bandar yang bukan sahaja maju, tetapi juga bersih untuk semua.

Jika kita bersatu hati menjaga bumi dengan ikhlas tidak mustahil banjir kilat akan tinggal sebagai kenangan pahit tidak berulang. Perubahan perlu bermula dari tangan kita sendiri, bukan dari menunggu keajaiban.

Sungai tidak akan bersih sendiri, longkang tidak mengalir lancar tanpa adanya penyelenggaraan dan bencana tidak akan lenyap selagi sikap acuh tak acuh masih menjadi budaya.

*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Biro Selangor & KL

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search