BAYAN LEPAS: Hujan lebat lebih sejam jam menyebabkan beberapa laluan sekitar Bayan Baru, Relau dan Bayan Lepas, di sini, dilanda banjir kilat.
Antara laluan terbabit ialah Jalan Mayang Pasir, Jalan Mahsuri, Jalan Tun Dr Awang, Sunway Tunas dan Jalan Relau.
Banjir kilat berlaku pada waktu puncak menyebabkan kesesakan apabila beberapa kenderaan terpaksa berhenti di bahu jalan berikutan bimbang untuk meredah air.
Pemilik bengkel dan alat ganti kereta, Wong Wei Chun, berkata air banjir mula memasuki premisnya di Jalan Mahsuri jam 6.30 petang.
“Kali terakhir premis ini digenangi air pada September lalu dan ia berlaku dua kali dalam sebulan. “Ketika itu kerugian dialami lebih RM6,000 untuk setiap kali kejadian.
“Hari ini air meningkat hingga paras lutut (mencecah 0.7 meter) dan menenggelamkan tayar kereta,” katanya ketika dihubungi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol berkata banjir kilat berlaku susulan keadaan paras air sungai yang tinggi dan longkang tersumbat dengan sampah.
“Saya dan kakitangan pejabat turut meninjau di beberapa lokasi dan paling terkesan ialah di Persiaran Mahsuri, Sunway Tunas dan Spice Arena (Jalan Tun Dr Awang), namun di beberapa lokasi air sudah surut selepas 45 minit.
“Kita sedang menunggu projek tebatan banjir yang akan berjalan bila-bila masa dan diharap ia dijalankan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Video dan gambar kejadian turut tular di media sosial, dikongsi pengguna jalan raya yang terkandas ketika waktu puncak.
Difahamkan, sekitar lokasi berkenaan sering dinaiki banjir kilat setiap kali hujan lebat, sejak lapan tahun lalu.
IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada 19 ketua isi rumah mangsa banjir kilat yang melanda empat kampung di kawasan Parlimen Tambun.
Sumbangan Perdana Menteri itu disampaikan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, dan Pegawai Khas Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri.
Hujan lebat berterusan pada 1 Disember lalu menyebabkan banjir kilat melanda Kampung Cheh, Kampung North Ward, Kampung Masjid serta Kampung Bakar Bata.
Mohamad Hairul Amir berkata, bantuan itu dihulur Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.
“Apabila berlaku banjir pada hari itu, beliau telah meminta saya dan pihak Pejabat Parlimen Tambun untuk turun menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terjejas,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata, setiap ketua isi rumah terbabit menerima sumbangan RM1,000. – BERNAMA
Bagi membantu kawasan yang terjejas dengan banjir, kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan untuk menggerakkan semula pasukan sukarelawan penjawat awam melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi.
Dikenali Skuad Ihsan Madani, ia bertujuan untuk membantu melaksanakan aktiviti kesukarelawanan semasa dan pasca banjir.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini turut memaklumkan, lebih 1,000 sukarelawan terdiri daripada penjawat serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam digerakkan ke tiga negeri bagi membantu penduduk terjejas banjir.
Katanya, kesemua sukarelawan itu dikumpulkan di bawah Skuad Ihsan Madani sebagai antara strategi tindakan pascabanjir dilaksanakan kerajaan.
“Kami mewujudkan Skuad Insan Madani. Mereka turun ke enam daerah di Kelantan, dua di Kedah dan Terengganu untuk memberikan bantuan pascabanjir,” katanya.
Skuad Ihsan Madani juga mendapat pujian daripada Anwar dengan memuji semangat ditonjolkan oleh penjawat awam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan penyelarasan dari pelbagai aspek dilaksanakan lebih awal agar persiapan lebih baik dalam membantu mangsa banjir dengan cepat dan teratur.
Anwar dipetik berkata, kesiapsiagaan berbulan sebelumnya itu menjadikan misi bantuan banjir kali ini dilaksanakan dengan berkesan dan kebanyakannya dilaksanakan oleh jentera kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, perbandaran, daerah dan jajahan di Kelantan.
PETRA PASANG PAM BERGERAK
- Admin UKK
- Berita
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) melalui Skuad Ihsan Madani Petra memaklumkan telah menjalankan misi pemantauan dan penilaian keberkesanan pemasangan pam bergerak di pintu kawalan air pasang surut (TCG).
Ia sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir di beberapa kawasan berisiko sekitar Port Dickson, Negeri Sembilan.
Petra berkata, pam bergerak itu berfungsi mengalirkan air keluar dari kawasan banjir bagi mempercepatkan proses surut.
Di Negeri Sembilan katanya, tiga TCG dipasang di lokasi hotspot banjir di daerah Port Dickson iaitu Tanjung Agas, Sungai Raya dan Kampung Paya yang terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko banjir.
“Pam di Tanjung Agas dan Sungai Raya masing-masing meliputi kawasan seluas 1.0 hektar, memberi manfaat kepada 15 rumah dan 50 penduduk.
“Sementara itu, Pam Kampung Paya meliputi kawasan seluas 3.0 hektar, memberi manfaat kepada 50 rumah dan 200 penduduk,” katanya sambil menambah keseluruhan pam bergerak di seluruh negara merekodkan 284 unit.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paya, Vagidah Rohiman MS Kader mengesahkan sejak pemasangan pam bergerak, kawasan itu tidak lagi mengalami banjir besar dengan kejadian terakhir berlaku pada tahun 2021.
Pengerusi JPKK Kampung Tanjung Agas, Hairi Dahalan turut berkongsi pandangan dengan menyatakan pam bergerak itu bukan saja membantu penduduk setempat tetapi juga mengurangkan kerosakan harta benda akibat banjir.
Sementara itu, Petra berkata, pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Raya, Negeri Sembilan yang melibatkan kos projek RM21.8 juta dijangka bermula Januari 2025.
“Ia dapat mengurangkan risiko banjir kepada anggaran sejumlah 100 buah rumah dan 500 orang penduduk di Kampung Sungai Raya serta Kampung Tanjung Agas setelah siapnya projek menjelang tahun 2026 dengan anggaran keluasan 3 kilometer (km) persegi kawasan banjir akan dapat dikurangkan,” katanya.
Menurutnya, sebagai usaha bantuan bencana, Skuad Ihsan Madani Petra juga melaksanakan misi agihan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Gedok, Negeri Sembilan.
“Seramai 35 orang daripada 12 keluarga, penduduk Kampung Gedok yang terkesan dengan kejadian banjir baru-baru ini menerima bantuan berupa kit pembersihan diri, kit pembersihan kediaman pasca banjir, kit kecemasan, makanan dan minuman bertujuan untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa pasca banjir,” katanya.
Katanya, rombongan sukarelawan Skuad Ihsan Madani Petra juga menyempurnakan sesi penyerahan barang bantuan kepada Pejabat Daerah Tampin untuk diagihkan pada mangsa banjir.
“Petra serta agensi di bawahnya sentiasa terus proaktif dalam menjalankan pemantauan dan tindakan dari semasa ke semasa terhadap situasi banjir yang berlaku terutama di Kawasan berisiko banjir di seluruh negara,” katanya.
Kuala Lumpur: Seramai 433 mangsa banjir masih berlindung di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri terjejas setakat jam 8 pagi semalam.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan keadaan banjir semakin pulih apabila jumlah mangsa di daerah Kemaman berkurang daripada 91 kelmarin kepada kepada 80 orang pagi semalam di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kertih dan Balai Raya Padang Kemunting.
Sementara itu di PERAK, Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi semalam kekal 220 orang di dua PPS di daerah Perak Tengah dan Manjung.
Kenyataan itu memaklumkan 34 berlindung di PPS SK Teluk Kepayang di daerah Perak Tengah manakala 186 orang di SK Beruas di daerah Manjung.
Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan A18 Jalan Bota Kiri-Teluk Sena di daerah Perak Tengah dan laluan A175 Jalan Selat-Pulau Pebayan ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air.
Jumlah mangsa banjir di Segamat, JOHOR pula kekal 85 orang di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, tiga sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat serta satu lagi Sungai Paya Dato, Mersing.
“Daerah Muar, Mersing, Pontian, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Kulai dilaporkan mendung manakala Johor Bahru, Segamat, Kluang dan Tangkak cerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Di PAHANG, mangsa banjir pagi semalam meningkat 48 orang berbanding 32 orang malam kelmarin dan mereka ditempatkan di empat PPS.
Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 47 orang berada di tiga PPS di Bera manakala seorang lagi di satu PPS di Temerloh.