OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Masalah hakisan, jalan runtuh di pantai Batu Rakit ditangani segera

Masalah hakisan, jalan runtuh di pantai Batu Rakit ditangani segera

DUNGUN - Masalah hakisan dan jalan runtuh di pantai Batu Rakit, Kuala Nerus akan ditangani secepat mungkin sebaik kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu disambung kembali selepas berakhir musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini projek berkenaan tergendala sementara akibat fenomena ombak besar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, projek bernilai RM70 juta dibawah Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan sekali gus mampu menyelamatkan pantai itu daripada hilang ditelan ombak.

"Pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater) ketika ini sedang berjalan, namun ia tergendala seketika disebabkan berlaku fenomena ombak besar yang lebih kuat dan agak luar biasa berbanding tahun-tahun sudah.

"Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), kita kini berada di penghujung (fenomena) ombak kuat yang memberi kesan hakisan yang sebegitu.

"Selepas ini, insyaALLAH, projek-projek yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dan kita akan tangani masalah jalan raya yang tidak dapat dilalui itu secepat mungkin," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung masalah itu.

"Saya difahamkan, beliau (Fadillah) telah menyatakan komitmen untuk turun sendiri melihat masalah hakisan di Terengganu termasuk mengunjungi tapak (projek) untuk melihat tindakan segera yang boleh dibuat.

"Selain itu, kita juga turut bersama-sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA untuk menangani keperluan semasa berhubung masalah ini," ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM70 juta untuk melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai di daerah Kuala Nerus.

Proses kerja awalan termasuk penghantaran bahan binaan ke tapak projek sudah dilakukan kontraktor bagi projek pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan terjejas yang dijangka siap pada 2026.

Masalah hakisan pantai berlaku menyebabkan dua jalan iaitu Jalan Mengabang Telipot (berhampiran Warung Pok Nong) sepanjang 300 meter dan Jalan Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit sepanjang 330 meter ditutup sepenuhnya terhadap semua kenderaan.

Penduduk di kampung berdekatan terpaksa menggunakan laluan alternatif sementara.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search