ALOR SETAR: Kerajaan negeri bersetuju menyalurkan sumbangan berjumlah RM500 kepada setiap ketua isi rumah (KIR), keluarga yang terlibat dengan banjir pada November lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian itu akan diberikan kepada semua keluarga terlibat termasuk mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Katanya, sumbangan itu dijangka melibatkan implikasi kewangan bernilai RM3.5 juta di pihak kerajaan negeri.
“Ketika ini jumlah mangsa banjir itu masih di peringkat bancian namun pagi ini, saya nak maklumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyumbangkan RM500 kepada ketua isi rumah terlibat banjir sama ada yang berpindah atau pun tidak.
“Jumlah mereka yang terlibat akan disahkan oleh pegawai daerah masing-masing. Kalau kita dapat angka penuh mereka yang terjejas pada minggu ini, minggu depan sumbangan tersebut sudah mula boleh dibayar,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Muhammad Sanusi menzahirkan harapan agar sumbangan tersebut dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terlibat.
“Dalam kejadian banjir kali ini, ada yang antara mangsa yang tidak berpindah disebabkan beberapa faktor antaranya kesihatan selain mereka masih boleh tinggal di bahagian atas rumah. Ada juga yang tidak berpindah kerana pusat pemindahan sementara (PPS) telah penuh atau terlalu padat dan kita mengambil inisiatif untuk menghantar bekalan makanan macam biasa.
“Atas faktor itu, kita jangkakan jumlah mangsa banjir sebenarnya jauh lebih ramai daripada fasa pertama bencana itu yang berlaku September lalu. Ketika ini bancian masih dibuat dan kita akan serahkan sumbangan itu dalam bulan ini juga,” katanya.
Sementara itu Muhammad Sanusi turut mengingatkan semua agensi berkaitan agar mengambil langkah bersiap sedia berikutan laporan dikeluarkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (Nahrim) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), yang menjangkakan kemarau berpanjangan bermula tahun ini dan mungkin berlarutan hingga 2035.
“Kita juga mungkin akan memulakan langkah untuk memastikan sumber air di Kedah, digunakan untuk negeri ini terlebih dulu,” katanya.
80 pusat peperiksaan alternatif di Pahang, 63 pusat peperiksaan berisiko terjejas banjir
- Admin UKK
- Berita
RAUB: Sebanyak 80 pusat peperiksaan alternatif disediakan di Pahang sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir yang boleh menjejaskan pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Amzan Abd. Malek berkata, pusat-pusat peperiksaan alternatif berkenaan disediakan berhampiran kawasan pusat peperiksaan yang berisiko terjejas banjir.
“Pada masa ini, kita mengenalpasti 63 pusat peperiksaan berisiko terjejas banjir dan 40 pusat peperiksaan yang berisiko laluan dinaiki air.
“Jadi apa kita buat ialah kita ada 80 pusat alternatif, maknanya kalau berlaku banjir kita ada pusat alternatif ini,” katanya ketika meninjau perjalanan peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di sini hari ini.
Sebanyak 259 pusat peperiksaan di 229 buah sekolah disediakan di seluruh negeri untuk menempatkan 20,401 calon SPM 2024 Pahang.
Seramai 2,792 petugas dalam kalangan guru dan 396 petugas sukarelawan disediakan bagi melancarkan peperiksaan berkenaan tahun ini.
Menurut Amzan, selain itu pihaknya juga bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan untuk membawa calon dan petugas sekiranya laluan dinaiki air.
Katanya, selain itu seramai 334 guru bimbingan kaunseling juga bersedia untuk menjalankan tugas sekiranya berlaku musibah khususnya banjir. – UTUSAN
PETALING JAYA: Keadaan banjir di Kelantan, Perak, dan Johor kekal tidak berubah setakat pukul 9 pagi tadi .
Di Perak, seramai 307 mangsa daripada 59 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Kampung Asli Chinggung, daerah Muallim.
Jabatan Pengairan dan Saliran negeri melaporkan bahawa paras air di Sungai Perak di Pasang Api, Bagan Datuk, kekal pada paras bahaya, iaitu 3.11 meter.
Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir kekal seramai 38 orang daripada 10 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, Rantau Panjang.
Menurut portal Public Infobanjir, Sungai Golok di Rantau Panjang kini berada pada paras amaran iaitu 8.0 meter, berbanding paras bahaya 9.39 meter yang direkodkan malam tadi.
Di Johor pula, jumlah mangsa banjir kekal seramai 69 orang daripada 17 keluarga, yang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan, iaitu Sekolah Kebangsaan Gembut dan Balai Raya Kampung Perpat di daerah Kota Tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa paras air di stesen Sungai Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, kekal pada paras berjaga-jaga dengan bacaan 2.31 meter. – UTUSAN
BATU PAHAT: Sebanyak 133 pusat peperiksaan alternatif disediakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, langkah tersebut merupakan antara mekanisme dan pelan integrasi bagi memastikan semua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan.
Sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengaktifkan Op Payung bagi membantu calon dan pada petugas peperiksaan yang terkesan.
“KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari.
“Sekiranya sekolah yang terlibat sebagai pusat peperiksaan dilanda banjir. Maka, kita akan alihkan calon SPM di pusat alternatif ke sekolah yang tidak dilanda banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.
Azman berkata, pihaknya juga menyediakan khidmat bantuan psikososial bagi calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula 2 Disember lalu.
SPM 2024 bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2, 3, 4 dan 5 Disember, Ujian Amali Sains (9,10 dan 12 Disember); Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16,17,18, dan 19 Disember); Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari hingga 6 Februari 2025).
Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan, iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini. – UTUSAN
KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
"Jajahan Tumpat dijangka membabitkan lembangan Sungai Golok, lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Pengkalan Nangka manakala jajahan Pasir Mas melibatkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan,” menurut kenyataan itu.
JPS memaklumkan jajahan Kota Bharu membabitkan lembangan Sungai Kelantan, lembangan Sungai Pengkalan Datu dan lembangan Sungai Semerak; lembangan Sungai Kelantan dan lembangan Sungai Semerak (Pasir Puteh); lembangan Sungai Kemasin dan lembangan Sungai Semerak (Bachok) serta lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan (Tanah Merah).
Menurut kenyataan itu, jajahan Kuala Krai akan melibatkan lembangan Sungai Kelantan manakala di Jeli membabitkan lembangan Sungai Golok dan lembangan Sungai Kelantan.
"JPS akan membuat pemantauan secara berterusan dan akan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai ini.
"Banjir yang diramal boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh jangkaan. Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk setempat terutamanya di kawasan berisiko banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut JPS.
Maklumat dan amaran semasa boleh didapati menerusi laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook PublicinfoBanjir. - Bernama