Banjir Indonesia jejas lebih 120,000 penduduk
- Admin UKK
- Berita
Sekurang-kurangnya 124,816 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda kawasan metropolitan, merangkumi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi serta sebahagian wilayah Banten.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan, pihak berkuasa memantau situasi dengan rapi serta menyelaras usaha bantuan termasuk pemindahan mangsa, pengagihan makanan dan perkhidmatan kecemasan.
Selaraskan bantuan
Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata setakat jam 7 malam kelmarin, banjir menjejaskan 13,704 keluarga atau kira-kira 51,320 penduduk di 18 kampung dalam 10 mukim di Kabupaten Bekasi.
“Kawasan terjejas termasuk Bojongmangu, Cikarang Utara, Cikarang Timur dan beberapa kawasan lain, paras air belum surut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut memaklumkan, wilayah Bekasi dan Banten kawasan paling teruk terjejas, diikuti Jakarta dan Depok.
Bagi mengurangkan risiko banjir berlanjutan, BNPB merancang operasi weather modification dari 4 hingga 8 Mac di kawasan hulu Puncak Bogor, bertujuan mengurangkan intensiti hujan yang menjadi punca utama banjir di kawasan rendah.
“Usaha ini bagi mengalihkan taburan hujan dari kawasan berisiko tinggi untuk meminimumkan kerosakan lanjut,” kata Abdul Muhari.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa terus menilai kerosakan dan menyelaras bantuan kepada mereka yang terjejas.
BERNAMA