Rakyat Malaysia dijangka berpuasa dalam keadaan hampir tiada hujan, cuaca kering dan panas
- Admin UKK
- Berita
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca di Malaysia akan menjadi lebih panas dan kering ekoran Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac depan.
Ketua Pengarahnya, Mohd Hisham Mohd Anip berkata kawasan utara Semenanjung seperti Perak, Pahang dan Kelantan terutamanya dijangka mengalami litupan awan dan taburan hujan yang berkurangan.
“Ketiadaan hujan dalam tempoh panjang boleh menyebabkan suhu meningkat melebihi 35°C pada waktu siang. Bacaan tertinggi setakat ini dicatat di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah dengan suhu 36.1°C pada 11 Februari lalu.
“Pengaruh La Nina yang lemah ketika ini dijangka membantu mengurangkan impak haba ekstrem berbanding tahun lalu,” katanya menurut Buletin TV3.
Tambahnya, fenomena itu adalah kejadian berulang setiap tahun bermula bulan Februari hingga bulan Mei namun keadaan tahun ini dijangka tidak seteruk berbanding tahun 2024.
Selari dengan kehadiran bulan Ramadan, orang ramai disarankan membuat persediaan menghadapi fenomena ini
MetMalaysia turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya gelombang haba dan jerebu dalam tempoh berkenaan.
“Semua pihak dinasihatkan supaya mengambil langkah penjimatan air serta mengelakkan sebarang pembakaran terbuka.
“Kami menyarankan orang ramai mengehadkan aktiviti luar dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas,” kata Mohd Hisham.
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memandang serius masalah bekalan air dihadapi pesawah susulan kemarau yang melanda kawasan penanaman padi di bawah seliaan agensi terbabit.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad, berkata buat masa ini hanya empat pam di Stesen Pam Kemubu 2 berfungsi dengan kemampuan bekalan air sebanyak 350 liter padu air persaat.
Katanya, bekalan air berkenaan untuk diagihkan kepada sawah seliaan KADA di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Bachok dan Pasir Puteh.
"Jumlah bekalan air ini adalah separuh daripada keperluan sebenar air bagi kawasan terbabit menyebabkan ada kawasan tidak menerima bekalan air.
"Hanya pam di Stesen Pam Kemubu 2 yang boleh digunakan untuk membekalkan air ke sawah disebabkan paras air sungai sudah menurun memandangkan tiada hujan," katanya ketika dihubungi.
Justeru Khalid berkata, sistem penggiliran kini dibuat bagi mengimbangi bekalan air ke sawah.
"Kawasan KADA menghadapi kekangan sumber bekalan air. Bagi menangani masalah ini KADA juga menyediakan 10,000 liter diesel secara percuma untuk fasa pertama di setiap Pejabat KADA Jajahan bagi membantu petani menggunakan pam mudah alih dan telaga tiub yang sedia ada.
"Sehingga kini sebanyak 800 telaga tiub sudah dibina KADA sejak 2019. Dengan pemberian diesel ini petani boleh mendapatkan bekalan diesel itu di Pejabat KADA Jajahan masing-masing untuk kegunaan pam," katanya.
Terdahulu media melaporkan, lebih 2,000 pesawah mendakwa tanaman padi seluas 4,000 hektar terputus bekalan air sejak seminggu lalu dan dikhuatiri tanaman akan musnah tidak lama lagi.
Padi yang kini berusia 50 hingga 60 hari dijangka hanya mampu bertahan seminggu dan sekiranya tidak mendapat bekalan air, tanaman akan rosak dan pesawah akan mengalami kerugian.
Kawasan yang terjejas membabitkan beberapa lokasi di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan termasuk Kampung Aur Duri, Pangkal Pisang, Padang Halban, Badak Mati, Machang Bubuk, Limbat dan Tembesu.
Pengerusi Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan, Zuha Ismail, berkata kesemua kawasan sawah berkenaan bergantung kepada air dari Rumah Pam Kemubu KADA.
PETALING JAYA – Sebanyak sembilan negeri dijangka berdepan cuaca buruk di sebelah petang hari ini terutama sekitar selatan Semenanjung.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi laporan cuaca di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda negeri Perak membabitkan daerah Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Selain itu, di Pahang melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron dan Rompin serta beberapa daerah di Selangor, antaranya Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata MetMalaysia.
Dalam laporan sama, MetMalaysia turut menjangkakan hujan lebat pada petang ini juga berisiko melanda Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Melaka (Alor Gajah dan Melaka Tengah).
“Bagi negeri Johor pula, kawasan yang diramal berdepan cuaca buruk petang ini adalah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Keadaan sama juga berlaku sekitar Sarawak meliputi bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).
“Di Sabah melibatkan Pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE
BAGAN SERAI – Sebanyak RM813,081 telah diperuntukkan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk membantu 702 pesawah di Perak yang terkesan akibat kemarau dan banjir yang melanda pada musim lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah serta memastikan rantaian bekalan makanan negara terus stabil.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) kepada tiga penerima di Kerian dengan jumlah keseluruhan RM6,000.
“Kemarau yang melanda telah menjejaskan kawasan tanaman seluas 778.15 hektar di seluruh Perak, termasuk 470.93 hektar di daerah Kerian. Selain itu, 0.70 hektar kawasan tanaman lain turut terjejas akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan, kerajaan negeri dan persekutuan telah meluluskan bantuan berjumlah RM812,081.28 di bawah TBTP kepada 702 pesawah yang terkesan.
KUCHING: Lima sekolah rendah di empat daerah di Sarawak masih belum dibenarkan beroperasi pada hari pertama persekolahan hari ini, akibat banjir yang melanda daerah berkenaan awal bulan ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, walaupun banjir di daerah terbabit semakin pulih, namun operasi di sekolah itu tidak dapat dijalankan, susulan banyak kelengkapan sekolah yang rosak teruk.
Beliau berkata, ketika ini semua sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit dilaksana menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Jelasnya, pembersihan di sekolah terbabit dijangka akan dilakukan dalam minggu ini, bergantung kepada keadaan semasa banjir di kawasan terlibat.
“Kita telah mengenal pasti kerosakan yang telah dilaporkan dan kita juga telah menurunkan peruntukan kepada pihak PPD untuk membantu sekolah membuat perolehan bagi kerosakan yang melibatkan kerusi dan meja.
“Sebenarnya, banyak lagi kerosakan lain, tetapi keutamaan kita adalah kerusi dan meja terlebih dahulu supaya mereka dapat belajar. Pada masa yang sama, kita akan lakukan pembaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau sesi hari pertama persekolahan 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki, Kuching.
Lima sekolah terbabit termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Plid, SK Saint Luke di Dalat, SK Kuala Kenyana di Mukah, SK Kuala Muput di Tatau, dan SK Ulu Kabo di Saratok.
Bagi sesi akademik 2025/2026, seramai 453,804 murid di Sarawak memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran yang membabitkan murid peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Daripada jumlah itu, 32,765 murid akan memulakan pembelajaran di Tahun Satu di 1,266 buah sekolah rendah di seluruh wilayah berkenaan.