Kuala Lumpur: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum diketahui nasib mereka susulan bencana di Nepal menuntut penjelasan berhubung masa dan strategi penugasan Pasukan Bantuan dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr Manivannan Rethinam berkata, kebimbangan mereka bukan berkaitan profesionalisme anggota SMART, sebaliknya sama ada operasi itu dilaksanakan pada masa yang tepat, berdasarkan keutamaan yang betul dan mencapai hasil seperti yang diharapkan.
"SMART berlepas dari Malaysia pada 5 September, iaitu hari ke-11 selepas rakyat Malaysia berkenaan dilaporkan hilang, manakala pergerakan pertama pasukan itu ke kawasan terjejas yang dilaporkan kepada umum adalah pada 8 September, apabila ia tiba di Dhunche dan menubuhkan pangkalan operasi hadapan taktikal.
"Tiga kawasan keutamaan yang dikenal pasti keluarga berdasarkan gambar, video, masa, rekod komunikasi serta maklumat berkaitan Sistem Penentududukan Global (GPS) tidak kelihatan seperti sudah diperiksa," katanya.
Manivannan menggesa pihak berkuasa menggabungkan semua maklumat yang diberikan keluarga ke dalam satu gambaran operasi yang menyeluruh, selain membenarkan seorang atau dua wakil keluarga menyertai mekanisme penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Keputusan 'tiada kesan ditemui' perlu menjadi pencetus kepada pemeriksaan lanjut, termasuk laluan pemindahan, lintasan sempadan, rekod pengangkutan dan imigresen, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data telekomunikasi, hospital, tempat perlindungan serta mayat yang belum dikenal pasti.
"Pihak berkuasa juga perlu menjelaskan laporan bahawa pihak berkuasa China mengesahkan tiga rakyat Malaysia sudah melintasi pemeriksaan imigresen Tibet kira-kira pada hari kesembilan selepas kejadian," katanya.
Keluarga terbabit mahu identiti tiga rakyat Malaysia berkenaan didedahkan, termasuk tarikh dan masa mereka melintasi sempadan, lokasi terakhir mereka yang disahkan serta penjelasan sama ada maklumat itu sudah dipadankan dengan 55 individu yang masih hilang.
Mereka turut menggesa supaya semakan objektif dilakukan terhadap tempoh 48 hingga 72 jam pertama selepas kejadian bagi menentukan sama ada semua saluran diplomatik dan politik yang munasabah sudah digunakan seawal mungkin.
Manivannan berkata, semakan itu perlu meneliti kemungkinan berlaku kelewatan atau peluang yang terlepas, namun menegaskan keluarga tidak menuduh wujud sebarang salah laku yang disengajakan.
Beliau turut mengkritik proses penyampaian maklumat dengan mendakwa perkembangan penting, termasuk kepulangan SMART, dilaporkan media sebelum dimaklumkan melalui saluran rasmi Wisma Putra kepada keluarga.
Keluarga terbabit mengulangi permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menggesa penubuhan mekanisme penyelarasan bagi membantu mereka dalam urusan kewangan, perundangan, insurans, pekerjaan dan hartanah.
"20 hari bukan jawapan," kata Manivannan sambil menegaskan bahawa keluarga mahukan ketelusan, penyelarasan serta semua saluran yang munasabah diteruskan bagi mengetahui apa yang berlaku kepada insan tersayang mereka.
KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan pulang ke tanah air hari ini, selepas menamatkan penugasan di Nepal, namun usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana banjir dan tanah runtuh di negara itu tetap diteruskan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan rekod semasa, jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi kekal seramai 55 orang.
“Setibanya di Malaysia, SMART dijadual memberikan taklimat kepada KLN di Putrajaya mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.
“Sepanjang penugasan di Nepal, SMART melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan yang boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan pihak berkuasa negara itu, termasuk pencarian di darat serta tinjauan udara menggunakan dron,” menurut kenyataan itu.
KLN berkata, berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia terbabit telah tamat atau mengubah status semasa mereka.
“Kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Maklumat yang diperoleh SMART akan diteliti bersama agensi berkaitan, selain perkembangan semasa yang terus diterima dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Berdasarkan maklumat terkini diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu masih melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.
Bagi menyokong usaha tindak balas bencana Nepal, SMART turut memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat negara itu, selain menyerahkan sembilan dron kepada Kerajaan Nepal menerusi National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana.
Tindakan susulan Malaysia di Nepal akan diteruskan menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu yang akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal berkaitan.
Kedutaan Besar Malaysia juga akan membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal.
Kedutaan Besar Malaysia di Beijing juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan.
KLN turut memahami kebimbangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang dan menegaskan kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat.
“Jika terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum,” menurut kenyataan itu.
KLN turut menggesa orang ramai dan pihak media menghormati privasi keluarga yang terlibat serta tidak membuat spekulasi mengenai mana-mana individu yang statusnya masih belum dapat disahkan.
PUTRAJAYA: Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir dahsyat di Nepal terus dilaksanakan meskipun penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu ditamatkan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya memahami bahawa berakhirnya penugasan SMART yang pulang hari ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
"Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terbabit dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang sudah disahkan.
"Sekiranya terdapat perkembangan yang sudah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.
"Semua 55 rakyat Malaysia berkenaan kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan," katanya.
Sebelum ini, keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan pasukan SMART yang dihantar ke Nepal akan pulang ke Malaysia.
Mohamad dilaporkan berkata kepulangan pasukan itu susulan operasi berkenaan yang sudah berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan pasukan terbabit.
Mengulas lanjut, KLN berkata berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.
"Bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART sudah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.
"Sementara itu, sembilan dron sudah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana," katanya.
Dalam pada itu, KLN berkata pelbagai usaha dilakukan kementerian bagi mendapatkan status terkini rakyat Malaysia yang masih hilang, termasuk mendengar taklimat daripada pasukan SMART.
Katanya, pihak kementerian juga akan mendengar taklimat daripada pasukan SMART yang kembali ke Malaysia hari ini mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.
"Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pula akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan.
"Ia antara lain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal," katanya.
KLN berkata usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan serta sebarang maklumat yang dapat membantu menentukan status mereka.
Dalam pada itu, KLN turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal serta pihak berkuasa Nepal yang berkaitan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang penugasan SMART, selain kerjasama berterusan yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.
Operasi SAR masih diteruskan, Nepal hargai bantuan AS$1 juta Malaysia, sokongan SMART
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Beberapa hari selepas banjir membawa kemusnahan besar menghanyutkan kawasan petempatan dan menyebabkan komuniti terputus hubungan di Nepal, negara itu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia kerana menyalurkan bantuan AS$1 juta serta mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur, Mudita Bajracharya berkata sokongan dan kepakaran antarabangsa amat penting tatkala Nepal meneruskan usaha mengesan mangsa serta menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas sumbangan sebanyak AS$1 juta," katanya sambil menambah Nepal menerima bantuan yang besar daripada negara jiran dan negara sahabat, pertubuhan antarabangsa, dermawan serta penderma dari seluruh dunia.
Ketika tampil dalam program BERNAMA World bertajuk "Nepal Floods: The Road to Recovery" hari ini, Bajracharya berkata pasukan SMART membantu operasi SAR bersama-sama pasukan antarabangsa yang lain.
Pasukan SMART yang dianggotai 11 anggota dan diatur gerak ke Nepal pada 5 September bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) telah menamatkan penugasan lapangannya dan kembali ke Malaysia.
Pasukan antarabangsa lain yang terbabit dalam usaha menyelamat termasuk dari Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala pasukan penyelamat khas terowong dari India, China dan Korea Selatan bekerjasama dengan Tentera Nepal untuk mencari mangsa di kawasan yang sukar diakses.
Bajracharya berkata operasi SAR masih diteruskan, terutamanya di sekitar loji hidrokuasa dan lokasi lain yang terjejas, manakala peralatan serta bekalan tambahan sedang digerakkan dengan bantuan rakan kongsi antarabangsa.
Beliau berkata Nepal turut memohon peralatan serta bekalan tambahan bagi memperkukuh usaha menyelamat dan pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA), termasuk dron berkapasiti tinggi dan dron bawah air, kit ujian DNA, bekalan pencegahan wabak, generator mudah alih, pam berkapasiti tinggi, penyejuk beku makmal dan sut penyelamat terowong.
Bajracharya berkata skala kemusnahan masih sangat besar, dengan bencana yang melanda di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli 20 hari lalu menyebabkan komuniti kehilangan tempat tinggal serta kediaman, jalan raya, jambatan, kemudahan hidrokuasa dan infrastruktur penting lain mengalami kerosakan teruk.
"Kawasan penempatan dihanyutkan dan akses amat sukar," katanya sambil menambah pihak berkuasa sedang berusaha memulihkan jalan raya, bekalan elektrik dan kesalinghubungan telekomunikasi di kawasan terjejas.
Bajracharya berkata sebuah jambatan Acrow dipasang merentasi sungai di laluan jalan Galchi-Trishuli, manakala operasi pembersihan jalan dan lokasi diteruskan di kawasan lain yang terjejas.
Sementara itu, Bajracharya berkata bencana berkenaan telah menarik perhatian lebih besar terhadap kesan perubahan iklim yang tidak seimbang ke atas negara yang terdedah kepada risiko.
"Negara seperti Nepal menanggung kesan paling buruk akibat perubahan iklim," katanya.
Sehubungan itu, Nepal merayu kepada negara kaya dan maju supaya memudahkan akses kepada pembiayaan iklim dan teknologi bagi membantu negara itu membina infrastruktur berdaya tahan iklim, menggalakkan pertanian pintar iklim serta memperkukuh kapasiti pihak berkepentingan, katanya.
PETALING JAYA – Orang ramai yang merancang untuk bercuti ke Cameron Highlands dinasihatkan mempertimbangkan semula perjalanan susulan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di beberapa lokasi di pusat peranginan itu hari ini.
Situasi berkenaan tular di media sosial selepas beberapa pengguna Threads berkongsi rakaman menunjukkan air berwarna keruh melimpah ke jalan raya, kawasan perumahan serta menenggelami sebahagian kenderaan.
Seorang pengguna Threads, @farah.ilyanaa berkata, keadaan di Cameron Highlands ketika ini kurang baik berikutan hujan lebat yang berterusan.
“Maaf keadaan Cameron tak berapa elok sekarang sebab banyak banjir kilat. Air sungai melimpah. Hujan lebat sangat-sangat. Sekarang pun tak berhenti lagi hujan,” tulisnya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Menurutnya, antara kawasan terjejas ialah Golden Hills apabila air banjir dilihat memasuki kediaman selain beberapa kenderaan turut dinaiki air.
Rakaman lain dikongsikannya turut menunjukkan keadaan air yang deras dan keruh di sekitar kawasan berkenaan, selain situasi di Taman Awam, Tanah Rata.
Menjawab pertanyaan pengguna yang merancang untuk berkunjung ke Cameron Highlands esok, wanita itu menyarankan perjalanan berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu.
“Lebih baik tangguh dulu sebab dah tiga hari hujan. Sini asyik hujan saja. Risau tanah runtuh pula hujan-hujan ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia mendakwa laluan menerusi Simpang Pulai masih dalam keadaan baik ketika ditanya mengenai akses untuk naik ke Cameron Highlands.
Seorang lagi pengguna Threads, @hnisalyaa_ turut berkongsi rakaman keadaan banjir berhampiran kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Cameron Highlands.
“Lebih baik tangguhkan dulu siapa berhajat nak naik Cameron, ada tempat yang banjir dan tanah runtuh,” tulisnya.
Sementara itu, pengguna @eif.mor1 memaklumkan air turut naik di sekitar Carnation Park.
Seorang lagi pengguna @schapikaaa turut berkongsi gambar pokok tumbang dipercayai di Jalan Tengkolok, Tanah Rata pada petang tadi.
“Jalan Tengkolok bahaya sekarang kalau lalu. Ni pun jadi petang tadi,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan jadual taburan hujan, Stesen Gunung Brinchang merekodkan 99.5 milimeter (mm) hujan sejak tengah malam hari ini, diikuti Tringkap 88.5mm, Ladang Boh 74mm dan Brinchang 73mm. – KOSMO! ONLINE
