OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penugasan SMART di Nepal berakhir tetapi usaha mengesan rakyat Malaysia diteruskan

Penugasan SMART di Nepal berakhir tetapi usaha mengesan rakyat Malaysia diteruskan

PUTRAJAYA: Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir dahsyat di Nepal terus dilaksanakan meskipun penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu ditamatkan.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya memahami bahawa berakhirnya penugasan SMART yang pulang hari ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.

"Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terbabit dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang sudah disahkan.

"Sekiranya terdapat perkembangan yang sudah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.

"Semua 55 rakyat Malaysia berkenaan kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan," katanya.

Sebelum ini, keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan meluahkan rasa kecewa dan terkilan selepas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memaklumkan pasukan SMART yang dihantar ke Nepal akan pulang ke Malaysia.

Mohamad dilaporkan berkata kepulangan pasukan itu susulan operasi berkenaan yang sudah berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan pasukan terbabit.

Mengulas lanjut, KLN berkata berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.

"Bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART sudah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.

"Sementara itu, sembilan dron sudah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana," katanya.

Dalam pada itu, KLN berkata pelbagai usaha dilakukan kementerian bagi mendapatkan status terkini rakyat Malaysia yang masih hilang, termasuk mendengar taklimat daripada pasukan SMART.

Katanya, pihak kementerian juga akan mendengar taklimat daripada pasukan SMART yang kembali ke Malaysia hari ini mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pula akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan.

"Ia antara lain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal," katanya.

KLN berkata usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan serta sebarang maklumat yang dapat membantu menentukan status mereka.

Dalam pada itu, KLN turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal serta pihak berkuasa Nepal yang berkaitan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang penugasan SMART, selain kerjasama berterusan yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search