Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal tuntut penjelasan operasi SMART
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih belum diketahui nasib mereka susulan bencana di Nepal menuntut penjelasan berhubung masa dan strategi penugasan Pasukan Bantuan dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (Masfih), Dr Manivannan Rethinam berkata, kebimbangan mereka bukan berkaitan profesionalisme anggota SMART, sebaliknya sama ada operasi itu dilaksanakan pada masa yang tepat, berdasarkan keutamaan yang betul dan mencapai hasil seperti yang diharapkan.
"SMART berlepas dari Malaysia pada 5 September, iaitu hari ke-11 selepas rakyat Malaysia berkenaan dilaporkan hilang, manakala pergerakan pertama pasukan itu ke kawasan terjejas yang dilaporkan kepada umum adalah pada 8 September, apabila ia tiba di Dhunche dan menubuhkan pangkalan operasi hadapan taktikal.
"Tiga kawasan keutamaan yang dikenal pasti keluarga berdasarkan gambar, video, masa, rekod komunikasi serta maklumat berkaitan Sistem Penentududukan Global (GPS) tidak kelihatan seperti sudah diperiksa," katanya.
Manivannan menggesa pihak berkuasa menggabungkan semua maklumat yang diberikan keluarga ke dalam satu gambaran operasi yang menyeluruh, selain membenarkan seorang atau dua wakil keluarga menyertai mekanisme penyelarasan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Keputusan 'tiada kesan ditemui' perlu menjadi pencetus kepada pemeriksaan lanjut, termasuk laluan pemindahan, lintasan sempadan, rekod pengangkutan dan imigresen, rakaman kamera litar tertutup (CCTV), data telekomunikasi, hospital, tempat perlindungan serta mayat yang belum dikenal pasti.
"Pihak berkuasa juga perlu menjelaskan laporan bahawa pihak berkuasa China mengesahkan tiga rakyat Malaysia sudah melintasi pemeriksaan imigresen Tibet kira-kira pada hari kesembilan selepas kejadian," katanya.
Keluarga terbabit mahu identiti tiga rakyat Malaysia berkenaan didedahkan, termasuk tarikh dan masa mereka melintasi sempadan, lokasi terakhir mereka yang disahkan serta penjelasan sama ada maklumat itu sudah dipadankan dengan 55 individu yang masih hilang.
Mereka turut menggesa supaya semakan objektif dilakukan terhadap tempoh 48 hingga 72 jam pertama selepas kejadian bagi menentukan sama ada semua saluran diplomatik dan politik yang munasabah sudah digunakan seawal mungkin.
Manivannan berkata, semakan itu perlu meneliti kemungkinan berlaku kelewatan atau peluang yang terlepas, namun menegaskan keluarga tidak menuduh wujud sebarang salah laku yang disengajakan.
Beliau turut mengkritik proses penyampaian maklumat dengan mendakwa perkembangan penting, termasuk kepulangan SMART, dilaporkan media sebelum dimaklumkan melalui saluran rasmi Wisma Putra kepada keluarga.
Keluarga terbabit mengulangi permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain menggesa penubuhan mekanisme penyelarasan bagi membantu mereka dalam urusan kewangan, perundangan, insurans, pekerjaan dan hartanah.
"20 hari bukan jawapan," kata Manivannan sambil menegaskan bahawa keluarga mahukan ketelusan, penyelarasan serta semua saluran yang munasabah diteruskan bagi mengetahui apa yang berlaku kepada insan tersayang mereka.
